Suspek kes rompakan barang kemas Muzium Louvre ditahan berdekatan Paris

Suspek kes rompakan barang kemas Muzium Louvre ditahan berdekatan Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Beberapa suspek yang terlibat dalam rompakan berani barang kemas di Muzium Louvre ditahan, termasuk seorang yang hampir melarikan diri ke luar negara, kata Pendakwa Raya Paris pada Ahad.

Menurut akhbar Le Parisien, dua lelaki berusia lingkungan 30-an dari Seine-Saint-Denis iaitu kawasan pinggir Paris yang turut menempatkan antara komuniti termiskin di negara itu ditahan pada Sabtu malam.

Kedua-duanya merupakan individu yang pernah berada dalam radar polis Perancis dan seorang daripadanya dikatakan hampir berlepas ke Algeria dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle.

Setakat ini, belum ada maklumat menunjukkan mana-mana barang kemas diraja Perancis yang dicuri itu ditemukan semula.

Pendakwa Raya Paris, Laure Beccuau tidak mendedahkan jumlah suspek yang ditahan atau butiran lanjut mengenai mereka. Dalam satu kenyataan, beliau kesal maklumat mengenai penahanan itu dibocorkan kepada media.

“Pendedahan ini hanya akan menjejaskan usaha penyiasatan oleh kira-kira 100 penyiasat yang terlibat, sama ada dalam pencarian barang kemas yang dicuri mahupun memburu semua pelaku yang terlibat. Masih terlalu awal untuk berkongsi sebarang maklumat terperinci,” kata Beccuau.

Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez yang berdepan tekanan awam untuk menunjukkan perkembangan selepas seminggu kejadian mengucapkan tahniah kepada pasukan penyiasat melalui satu ciapan, namun tidak memberi maklumat lanjut.

Dalam kejadian pada 19 Oktober lalu, empat perompak bertopeng melarikan lapan barangan bernilai dianggarkan AS$102 juta (RM429.8 juta) dari koleksi Louvre, sekali gus membongkar kelemahan keselamatan di muzium paling banyak dikunjungi di dunia itu.

Rompakan besar itu mengejutkan dunia dan mencetuskan perdebatan di Perancis, dengan sesetengah pihak menyifatkannya sebagai satu penghinaan kepada negara.

Antara harta bersejarah yang dicuri termasuk tiara dan subang milik Ratu Marie-Amélie serta Ratu Hortense dari awal abad ke-19.

Mahkota Permaisuri Eugénie, isteri Napoleon III, ditemui dalam keadaan rosak di luar muzium. Barang kemas yang diperbuat daripada emas, zamrud dan berlian itu dipercayai terjatuh semasa perompak melarikan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN