RFK Jr. gesa rakyat AS ambil lebih banyak lemak tepu 

RFK Jr. gesa rakyat AS ambil lebih banyak lemak tepu 

ROBERT F. KENNEDY JR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat (HHS), Robert F. Kennedy Jr. merancang untuk mengeluarkan garis panduan yang menggalakkan rakyat AS mengambil lebih banyak lemak tepu.

Bagaimanapun, langkah yang bercanggah dengan saranan pemakanan sejak berdekad-dekad lalu itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar.

“Saya cuba bertenang dan melihat apa yang akan berlaku kerana tiada penjelasan diberikan mengenai bagaimana, mengapa dan bila perubahan dasar ini akan dibuat.

“Cadangan mengenai lemak tepu merupakan antara saranan paling konsisten sejak edisi pertama garis panduan diet ini dikemukakan,”  kata Ahli Lembaga Persatuan Jantung AS dan Pensyarah Sekolah Kesihatan Awam dan Sains Kemandirian Hayat Universiti California, Prof. Cheryl Anderson kepada The Guardian.

Pakar Pediatrik dan Perubatan Universiti California, Ronald Krauss yang lama menjalankan kajian mengenai lemak tepu, mengakui ia mungkin kurang berbahaya daripada anggapan dahulu. 

“Namun, jika Kennedy Jr. benar-benar mahu berkata kita patut mengambil lebih banyak lemak tepu, saya rasa itu mesej yang sangat salah,” katanya.

Menurut laporan The Hill, Kennedy sebelum ini memberi bayangan garis panduan pemakanan baharu akan menekankan keperluan untuk mengambil lemak tepu daripada tenusu, daging yang baik, daging segar dan sayur-sayuran.

“Apabila kami keluarkan garis panduan itu nanti, ia akan menjadi asas untuk dibawa ke sekolah-sekolah,” katanya.

Krauss berkata, penyelidikannya menunjukkan lemak tepu adalah agak neutral berbanding dengan tanggapan saintifik sebelum ini.

Kajian beliau mendapati pengurangan pengambilan lemak tepu hanya memberi manfaat jika ia digantikan dengan sumber yang betul. 

“Menggantikan lemak tepu dengan lemak tidak tepu seperti minyak zaitun dan lemak poli tidak tepu daripada sumber tumbuhan lain boleh meningkatkan kesihatan metabolik dan mengurangkan risiko penyakit jantung, tetapi itu tidak bermaksud lemak tepu semestinya berbahaya,” jelas Krauss. 

Kajian beliau juga menunjukkan menggantikan lemak tepu dengan gula dan karbohidrat sebenarnya boleh meningkatkan risiko penyakit jantung. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN