KOBE: Dua pelancong dari China mendakwa mereka dihina dan dihalau keluar dari sebuah restoran popular di bandar Kobe hanya kerana berpakaian santai dengan singlet sukan dan seluar longgar, yang dianggap oleh pemilik restoran sebagai terlalu mencolok mata.
Kejadian itu berlaku pada akhir Ogos lalu apabila seorang penulis blog China, yang identitinya tidak didedahkan, bersama rakannya mengunjungi restoran makanan Thai terkenal, Baan Thai Market di Kobe.
Menurut perkongsian mangsa di laman sosial China yang menerima lebih 2,100 tanda suka, sebaik melangkah masuk, mereka terus disindir secara kasar oleh pemilik restoran.
“Musim panas sudah berakhir. Kamu tidak perlu keluar separuh bogel lagi,” kata pemilik kedai itu kepada mereka.
Wanita itu menjelaskan pakaian mereka hanyalah singlet sukan yang dipadankan dengan seluar panjang dan tidak melanggar sebarang norma kesopanan.
Namun, keadaan bertukar tegang apabila ketika mereka masih menikmati makanan, pengurus dan beberapa kakitangan restoran tiba-tiba datang, merampas penyepit, membersihkan pinggan, serta mengambil semua hidangan tanpa bertanya sama ada mereka sudah selesai makan atau tidak.
“Apabila saya ke kaunter untuk membayar, pengurus itu langsung tidak mempedulikan saya. Dia hanya menjeling ke arah skrin komputer, seolah-olah menyuruh kami semak sendiri jumlah bayaran,” tulisnya.
Selepas insiden itu, beliau menyemak ulasan pelanggan di Google Maps dan mendapati ramai pengunjung lain turut pernah berdepan layanan buruk daripada pengurus yang sama, malah ada yang menuduhnya bersikap rasis.
Antara ulasan negatif yang ditemui termasuk dakwaan seorang pelanggan yang dihalau kerana memakai minyak wangi, manakala seorang lagi mendakwa pengurus restoran itu sangat mesra ketika mereka datang bersama rakan Jepun, tetapi berubah menjadi kasar sebaik mendengar perbualan dalam bahasa Mandarin.
Jepun kini mengatasi Thailand sebagai destinasi pelancongan luar negara paling popular dalam kalangan rakyat China tahun ini, berikutan dasar visa yang lebih longgar, nilai yen yang lemah serta minat terhadap pelancongan berasaskan makanan.
Bagaimanapun, kejadian di Kobe itu mencetuskan kemarahan ramai pengguna media sosial Jepun yang turut mengecam tindakan pemilik restoran tersebut.
“Pengurus itu memang terkenal dengan sikap biadabnya. Ramai sudah mengadu tentang dia sebelum ini,” kata seorang warganet Jepun.
Sementara itu, seorang lagi pengguna berkata, isu ini bukan soal pakaian, tetapi diskriminasi.
“Pengurus itu berubah sikap sebaik mengetahui pelanggan itu warga China,”-AGENSI










