GAZA CITY: Ketua Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher, menggesa Israel membuka semua pintu masuk ke Gaza tanpa berlengah bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar dengan segera ke wilayah yang sedang bergelut dengan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Bercakap kepada AFP di Kaherah sebelum lawatan ke sempadan Gaza, Fletcher menegaskan kelewatan akibat birokrasi dan kawalan keselamatan telah menghalang penyaluran bantuan penting kepada penduduk yang memerlukan.
“Ia perlu berlaku sekarang. Kami mahu ia dilaksanakan serta-merta sebagai sebahagian daripada perjanjian ini,” kata Fletcher.
Menurut beliau, akses ke Gaza perlu diberikan secara “tanpa sebarang halangan” bagi memenuhi keperluan luar biasa penduduk di wilayah berkenaan.
Fletcher turut menyebut Presiden AS Donald Trump dan pemimpin lain yang menghadiri Sidang Kemuncak Sharm el-Sheikh minggu ini menyatakan sokongan penuh bantuan boleh dihantar dalam skala besar.
Pada awal Rabu, media penyiaran Israel, Kan, melaporkan pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Gaza dan Mesir akan dibuka semula.
Namun sehingga petang, pintu sempadan itu masih belum beroperasi. Jurucakap kerajaan Israel tidak memberikan sebarang maklum balas kepada pertanyaan AFP mengenai perkembangan tersebut.
Fletcher dijadualkan mengunjungi pintu sempadan Rafah pada Khamis, yang merupakan satu-satunya laluan ke Gaza yang tidak melalui Israel.
“Ujian sebenar perjanjian ini bukan pada gambar, sidang media atau wawancara.
“Ujian sebenar ialah apabila kanak-kanak mendapat makanan, apabila hospital ada bekalan ubat bius, apabila orang ramai ada khemah untuk berteduh,” katanya.