Israel terima mayat tahanan dari Hamas melalui Palang Merah

Israel terima mayat tahanan dari Hamas melalui Palang Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Israel  menerima sebuah keranda melalui Palang Merah yang mengandungi mayat seorang lagi tebusan yang meninggal dunia di Gaza.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan berkata, tenteranya membawa keranda itu keluar dari Gaza ke Israel untuk menjalani ujian forensik bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Sekiranya disahkan sebagai tebusan, ini bermakna Hamas sudah menyerahkan 16 daripada 28 mayat rakyat Israel dan warga asing yang ditahan sebelum gencatan senjata bermula dua minggu lalu.

Penyerahan terbaharu itu dilakukan selepas kerajaan Israel membenarkan seorang anggota Hamas memasuki kawasan Gaza yang kini dikawal oleh IDF bagi membantu pasukan Palang Merah dan pegawai Mesir mencari baki mayat tebusan yang masih belum ditemui.

Israel menuduh Hamas melanggar perjanjian gencatan senjata yang dirunding oleh Amerika Syarikat (AS), Mesir, Qatar dan Turkiye kerana belum menyerahkan semua mayat tebusan seperti yang dipersetujui.

Bagaimanapun, kumpulan pejuang Palestin itu menegaskan mereka masih komited terhadap perjanjian tersebut, namun memerlukan bantuan untuk mencari sisa mayat yang tertimbus di bawah runtuhan akibat peperangan selama dua tahun.

Jurucakap kerajaan Israel, Shosh Bedrosian berkata, Palang Merah, pasukan teknikal Mesir serta seorang wakil Hamas dibenarkan memasuki kawasan melepasi garisan kuning IDF di Gaza di bawah pengawasan ketat tentera Israel.

Beliau turut memaklumkan pihak Mesir akan membawa masuk lebih banyak peralatan termasuk jentera berat jenis penggali tanah.

Sehari sebelumnya, Bedrosian berkata, operasi pencarian menggunakan dua hingga tiga jentera penggali serta beberapa buah lori bagi memindahkan bahan runtuhan.

Semua 20 tebusan Israel yang masih hidup sudah dibebaskan sejurus selepas gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu sebagai pertukaran dengan 250 tahanan Palestin dan 1,718 individu yang ditahan di Gaza.

Israel sebelum ini juga menyerahkan 195 mayat rakyat Palestin sebagai pertukaran dengan mayat 13 tebusan Israel yang dikembalikan oleh Hamas, serta dua tebusan warga asing masing-masing dari Thailand dan Nepal.

Sebelum penyerahan pada Isnin malam, baki mayat tebusan yang masih belum dikembalikan terdiri daripada 11 warga Israel, seorang warga Tanzania dan seorang warga Thailand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN