Dewan Perwakilan AS dakwa Biden lemah mental, gesa siasat penggunaan autopen

Dewan Perwakilan AS dakwa Biden lemah mental, gesa siasat penggunaan autopen

JOE BIDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jawatankuasa Pengawasan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa menerbitkan laporan siasatan berhubung keadaan kognitif bekas Presiden Joe Biden, dengan mendakwa pembantu rapatnya menyembunyikan kemerosotan mental beliau, namun tanpa mengemukakan sebarang bukti kukuh.

Laporan setebal 100 halaman bertajuk The Biden Autopen Presidency: Decline, Delusion, and Deception in the White House, menuduh Biden terlalu lemah untuk membuat keputusan sendiri.

Ia turut mendakwa beberapa tindakan eksekutifnya termasuk pengampunan terhadap ahli keluarga adalah ‘tidak sah’ kerana tiada bukti beliau sendiri menandatanganinya.

Namun laporan itu tidak menyertakan sebarang bukti baharu, sebaliknya mengulangi dakwaan lama dengan menuduh pasukan Biden menjalankan ‘penutupan terancang’ terhadap isu umur dan kesihatan bekas presiden tersebut.

Dalam surat kepada Peguam Negara Pam Bondi, Pengerusi Jawatankuasa Penyeliaan, James R. Comer, meminta siasatan dijalankan terhadap semua tindakan eksekutif yang dibuat sepanjang pentadbiran Biden, bagi menentukan sama ada ia ‘diluluskan dengan sewajarnya’ oleh beliau sendiri.

Surat itu turut mencadangkan bahawa laporan berkenaan boleh dijadikan asas bagi pendakwaan oleh Jabatan Kehakiman pada masa hadapan.

Bondi dalam satu hantaran di media sosial berkata, pihaknya sedang meneliti penggunaan autopen oleh Biden bagi menandatangani pengampunan, dan akan bekerjasama dengan ahli Republikan di Dewan Perwakilan untuk ‘menegakkan akauntabiliti kepada rakyat Amerika’.

Biden memberikan pengampunan kepada anaknya, Hunter, pada minggu-minggu terakhir pentadbirannya. 

Beliau turut memberi pengampunan penuh dan tanpa syarat kepada lima ahli keluarga lain yang tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan, termasuk abangnya James B. Biden; isteri James, Sara Jones Biden; adiknya Valerie Biden Owens; suami Owens, John T. Owens; serta adik bongsunya, Francis W. Biden.

Penggunaan autopen tanpa kebenaran, sejenis peranti yang lama digunakan oleh presiden kedua-dua parti untuk menandatangani undang-undang dan perintah lain, menjadi perhatian Presiden Donald Trump sejak sekian lama.- NYTimes

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN