‘CIA cuba guling kerajaan Venezuela’

‘CIA cuba guling kerajaan Venezuela’

NICOLAS MADURO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Presiden Ve­nezuela, Nicolas Maduro mengecam rancangan Pre­siden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk melancarkan sera­ngan darat terhadap kartel dadah Venezuela dengan menuduh Washington dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) cuba menggulingkan kerajaannya.

“Tidak kepada perang di Caribbean. Tidak kepada perubahan rejim. Tidak kepada rampasan kuasa yang diatur oleh CIA,” kata Maduro dalam ucapan kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan susulan kehadiran kapal perang AS di perairan Caribbean.

Kenyataan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Trump mempertimbangkan sera­ngan darat terhadap kartel Venezuela, susulan beberapa serangan laut yang menenggelamkan bot-bot didakwa membawa dadah keluar dari negara itu.

Laporan rasmi menyatakan seramai 27 orang terbunuh dalam serangan maritim yang dilancarkan AS setakat ini.

Sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu terhadap bot Venezuela, Maduro mengarahkan pe­laksanaan latihan ketenteraan di kawasan setinggan terbesar negara itu, dan memobilisasi anggota tentera, polis serta militia awam.

“Kami akan mempertahankan gunung-gunung kami, pantai, sekolah, hospital, kilang dan pasar,” kata Maduro.

Trump sebelum ini menyifatkan pihak yang terlibat sebagai ‘pengganas narkotik’, namun tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

Presiden AS itu juga menuduh Maduro menge­tuai kartel dadah antarabangsa, satu tuduhan yang berulang kali dinafikan oleh pemimpin Venezuela itu.

Pada Ogos lalu, Wa­shington menaikkan ganjaran kepada AS$50 juta (RM211 juta) bagi sebarang maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan Maduro.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN