BEIJING: Tarikan pelancongan baharu yang menawarkan pengalaman terjunan bungee tanpa tali dari jambatan jalan raya tertinggi dunia di China ditangguhkan sebelum sempat dilancarkan, selepas rakaman ujian keselamatan mencetuskan kebimbangan ramai di media sosial.
Jambatan Ngarai Huajiang di wilayah Guizhou menjadi tajuk utama selepas pihak pengendali mengumumkan tarikan ekstrem yang membolehkan peserta terjun bebas dari jambatan ke arah jaring keselamatan berwarna pelangi yang terbentang di atas Sungai Beipan pada ketinggian 625 meter.
Video menunjukkan kakitangan keselamatan menjatuhkan beg pasir pelbagai berat ke dalam jaring sebagai ujian keselamatan tular di platform media sosial China awal bulan ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai tahap keselamatan aktiviti tersebut.
Berbeza dengan aktiviti terjunan tradisional, konsep itu bakal menyaksikan peserta melompat terus dari pelantar ke arah jaring keselamatan di bawah.
Tarikan berkenaan menawarkan pelbagai pilihan ketinggian antara 20 hingga 50 meter, dengan harga sekitar 1,600 yuan (RM948), lebih murah berbanding bungee konvensional yang berharga kira-kira 3,000 yuan (RM1,779).
Sebelum pembukaannya minggu ini, pihak pengendali menjalankan ujian dengan menjatuhkan beg seberat 45 dan 90 kilogram dari pelantar.
Walaupun jaring tersebut dilihat berfungsi dengan baik, rakaman itu tetap menimbulkan persoalan tentang kemungkinan peserta terlepas jaring atau jaring tersebut gagal menampung berat badan sebenar.
Menjawab kritikan itu, syarikat pengendali menjelaskan jaring tersebut direka dengan bucu tetap bagi menyerap impak jatuhan, dan akan menurun perlahan-lahan ke pelantar bawah bagi memastikan peserta mendarat dengan selamat.
Bagaimanapun, penjelasan itu gagal meyakinkan orang ramai.
Menurut laporan media tempatan, majlis pelancaran rasmi tarikan ekstrem tersebut kini ditangguhkan sehingga notis lanjut. -AGENSI










