64 maut dalam operasi 'narco-terorisme' terbesar di Rio de Janeiro

64 maut dalam operasi ‘narco-terorisme’ terbesar di Rio de Janeiro

PEGAWAI polis mengiringi suspek yang ditahan dalam operasi membanteras dadah di kawasan setinggan Vila Cruzeiro di Rio de Janeiro, Brazil.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya 64 orang terbunuh dalam operasi keselamatan terbesar dan paling berdarah pernah dijalankan di Rio de Janeiro yang menyasarkan kumpulan jenayah utama beberapa hari sebelum bandar itu menjadi tuan rumah kepada siri acara global berkaitan Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau COP30.

Menurut Gabenor Rio de Janeiro, Claudio Castro, seramai 60 anggota pengedar dadah disyaki terbunuh termasuk empat anggota polis, menjadikan operasi tersebut dua kali ganda lebih dahsyat berbanding operasi polis paling maut dalam sejarah bandar berkenaan.

“Kami tetap tegas memerangi narco-terorisme,” kata Castro dalam kenyataan di media sosial, sambil memaklumkan operasi itu melibatkan 2,500 anggota keselamatan di kawasan penempatan miskin favela Alemao dan Penha, berhampiran lapangan terbang antarabangsa Rio.

Bunyi tembakan kedengaran berhampiran lapangan terbang antarabangsa Rio, manakala kepulan asap tebal kelihatan dari beberapa lokasi kebakaran pada waktu petang, beberapa jam selepas operasi dimulakan.

Penduduk panik berlari mencari perlindungan berikutan dakwaan kumpulan penjenayah menggunakan dron untuk melawan.

Pertempuran sengit tersebut turut menjejaskan rutin harian penduduk apabila puluhan sekolah dan pusat kesihatan terpaksa ditutup, laluan bas dialihkan dan kesesakan lalu lintas dilaporkan di beberapa kawasan utama.

Bandar itu sering melancarkan operasi besar-besaran menjelang acara antarabangsa utama, termasuk temasya Sukan Olimpik 2016, Sidang Kemuncak G20 2024, dan Sidang Kemuncak BRICS pada Julai lalu.

Minggu depan, Rio dijadual menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak C40 Datuk Bandar Dunia mengenai perubahan iklim serta Anugerah Earthshot yang bakal dihadiri tokoh ternama seperti Putera William, penyanyi, Kylie Minogue dan juara dunia Formula Satu empat kali, Sebastian Vettel.

Rakaman video yang dikeluarkan pihak berkuasa menunjukkan suspek menggunakan dron yang dipasang bom tangan untuk menyerang pasukan keselamatan, selain beberapa individu bersenjata dilihat melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

Setakat ini, 81 suspek berjaya ditahan, manakala pihak berkuasa berusaha melaksanakan 250 waran tangkap dan geledah terhadap individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

Sementara itu, Menteri Kehakiman Brazil, Ricardo Lewandowski menegaskan, kerajaan persekutuan tidak menerima sebarang permintaan bantuan rasmi daripada kerajaan negeri sebelum operasi itu dijalankan dan hanya mengetahui perkembangan melalui laporan media.

Beberapa kumpulan masyarakat sivil mengecam jumlah korban yang tinggi, menyifatkannya sebagai tindakan melampau.

“Ini satu tragedi dan pendekatan yang gagal sepenuhnya kerana ia tidak menyelesaikan masalah sebenar dalam rantaian pengedaran dadah,” kata Pengarah Eksekutif Badan Pemikir Keselamatan Sou da Paz, Carolina Ricardo. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN