DAMSYIK: Sebanyak 15 syarikat penerbangan kini kembali mengendalikan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik, menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Syria.
Menurut laporan agensi berita SANA, pihak berkuasa penerbangan negara itu giat memulihkan sektor pengangkutan udara dan memperkukuh hubungan antarabangsa sejak berlakunya perubahan kepimpinan di Syria pada Disember lalu.
Ketika ini, 15 syarikat penerbangan dari pelbagai negara termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Turkiye, Qatar, Jordan, Kuwait dan Romania telah menyambung semula operasi mereka ke ibu negara Syria itu.
Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik merupakan lapangan terbang terbesar di Syria, berperanan sebagai hab utama yang menghubungkan Damsyik dengan destinasi domestik seperti Aleppo di utara.
Menurut laporan terkini pihak berkuasa penerbangan, jumlah kargo yang dikendalikan di lapangan terbang itu pada September mencecah 82,986 tan eksport dan 34,039 tan import.
“Peningkatan jumlah ini mencerminkan usaha berterusan untuk menghidupkan semula sektor penerbangan Syria dan memperkukuh keterhubungan dengan pasaran global,” lapor agensi SANA.
Pihak berkuasa turut menegaskan bahawa penglibatan syarikat penerbangan asing amat penting bagi menyokong operasi perdagangan dan misi kemanusiaan di negara itu.
Melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa, Syria berhasrat memperkukuh kedudukannya dalam industri penerbangan global dengan menyediakan perkhidmatan penumpang serta sokongan logistik yang strategik. -AGENSI