Laporan awal insiden bot karam PATI dibentang mesyuarat Kabinet esok

Laporan awal insiden bot karam PATI dibentang mesyuarat Kabinet esok

SAIFUDDIN Nasution Ismail beramah mesra dengan pegawai PDRM selepas majlis perasmian PDRM Special Dialogue IV 2025 di Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Laporan awal berhubung tragedi bot karam membabitkan pendatang tanpa izin (PATI) di perairan sempadan Malaysia-Thailand dekat Pulau Langkawi akan dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri, esok.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta beliau untuk membentangkan laporan awal berkenaan insiden tersebut.

Pada masa sama, beliau turut merujuk insiden yang berlaku itu sebagai satu tragedi besar, selain berkemungkinan melibatkan jenayah terancang seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

“Kita (akan) tengok semua kemungkinan itu kerana Langkawi adalah destinasi popular. Sejak 2010 sehingga sekarang lebih kurang 2,300 rekod pendaratan, ada yang selamat, ada yang meninggal.

“Dan tak mudah apabila sudah meninggal dunia kerana hospital di Pulau Langkawi tidak cukup keupayaan, kita terpaksa bawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat,” katanya ketika berucap merasmikan PDRM Special Dialogue IV 2025 di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, seramai 177 anggota keselamatan terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikerahkan menerusi operasi mencari dan menyelamat.

“Kita aktifkan sepenuhnya Pusat Gerakan dengan penggunaan teknologi radar dan sebagai (bagi mengesan mangsa) dengan beberapa lagi mayat ditemukan semalam,” ujarnya.m

Terdahulu media melaporkan, sembilan daripada 26 mangsa bot karam yang maut di perairan Langkawi selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), setakat semalam.

Sebelum ini, operasi mencari dan menyelamat (carilamat) dilancarkan susulan insiden sebuah daripada tiga bot yang dipercayai membawa kira-kira 300 imigran karam berhampiran Pulau Tarutao, di perairan sebelum sempadan Thailand–Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN