Seorang pesakit saya berumur 50-an datang ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan yang rutin. Beliau menghidap penyakit darah tinggi dan kolesterol.
Ujian darah dan ultrasound hati mendedahkan dia mempunyai keradangan dan parut (sirosis) di hati, yang disebabkan oleh hepatitis B kronik yang baru dikesan. Ujian lanjut dengan CT scan juga menunjukkan beliau sudah menghidap kanser hati peringkat awal.
Kanser hati (Hepatocellular Carcinoma) adalah antara kanser yang paling berbahaya kerana sering dikesan pada peringkat lewat. Ia adalah kanser kelima paling lazim dalam kalangan lelaki di Malaysia.
Apabila sudah muncul simptom seperti sakit perut, jaundis, bengkak bahagian abdomen atau penurunan berat badan yang cepat, peluang rawatan yang berkesan semakin berkurang. Oleh itu, sempena Bulan Kesedaran Kanser Hati iaitu pada Oktober ini, perlu kita fahami bahawa pemeriksaan awal untuk kesihatan hati dapat menyelamatkan nyawa.
Siapa yang perlu menjalani saringan kesihatan hati?
Kira-kira 5 peratus populasi Malaysia mempunyai jangkitan Hepatitis B atau C kronik. Justeru, setiap individu dewasa disarankan untuk melakukan ujian darah saringan hepatitis B dan C, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Bagi sesetengah individu seperti pekerja kesihatan, wanita mengandung, pesakit yang mempunyai sistem imun rendah dan pesakit dialisis, mereka disarankan untuk menjalani ujian saringan hepatitis dengan lebih kerap.
Penyakit hati berlemak juga boleh menyumbang kepada keradangan dan kerosakan hati dalam jangka masa panjang. Individu berisiko seperti mereka yang mempunyai penyakit empat serangkai (kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi dan kegemukan) adalah sangat digalakkan untuk menjalani saringan hati berlemak. Ujian terbaik yang saya cadangkan adalah ujian fungsi hati (enzim hati) beserta ultrasound abdomen.
Satu lagi prosedur yang saya sarankan adalah transient elastography (lebih dikenali sebagai FibroScan), di mana kita dapat mengetahui secara objektif tahap keseriusan lemak dan parut (fibrosis) di hati.
Penyakit hati yang kronik seperti hepatitis B & C, hati berlemak dan autoimmune hepatitis dapat membawa kepada tahap kerosakan hati yang teruk iaitu sirosis hati, jika tidak dirawat lebih awal.
Komplikasi sirosis hati termasuklah busung, kekuningan, lebam di tubuh badan, muntah darah disebabkan variks di esofagus, kecelaruan otak dan kerosakan buah pinggang. Risiko mendapat kanser hati juga akan meningkat sekiranya hati sudah menjadi sirosis. Maka, saringan kanser hati wajib bagi pesakit yang sudah mempunyai sirosis hati.
Apa itu saringan kanser hati?
Saringan bermaksud pemeriksaan berkala untuk mengesan penyakit lebih awal, terutama dalam kalangan yang berisiko tinggi. Untuk kanser hati, kaedah paling biasa digunakan adalah ultrasound abdomen, kadangkala digabungkan dengan ujian darah penanda tumor AFP (alpha-fetoprotein). Bila dibuat secara konsisten, setiap enam bulan, ia boleh mengesan ketumbuhan kecil yang boleh dirawat awal.
Kelebihan ujian ultrasound: kos rendah, mudah didapati di hospital dan klinik, dan tidak menggunakan sinar berbahaya seperti CT. Kekurangan ujian ultrasound: tidak semestinya dapat mengesan tumor yang sangat kecil (<1 cm) dengan tepat.
Selain pesakit yang mempunyai sirosis hati, kumpulan individu berikut juga disarankan menjalani saringan (walaupun tidak mencapai tahap sirosis) kerana tetap mempunyai risiko kanser hati yang tinggi:
Mempunyai sejarah keluarga kanser hati
Menghidap hepatitis B & C dan berumur melebihi 40 tahun (bagi lelaki) atau 50 tahun (bagi wanita)
Mempunyai tahap fibrosis yang teruk (tahap 3)
Walaupun begitu, kita masih belum mempunyai program saringan nasional tersusun sepenuhnya. Ramai pesakit berisiko tinggi tidak disaring secara rutin, terutama di luar bandar.
Kenapa saringan awal sangat penting?
Pengesanan awal membolehkan rawatan-curatif seperti pembedahan kecil, ablasi atau terapi lokal lain, yang meningkatkan peluang hidup dengan banyak. Ujian saringan terbukti boleh menurunkan kadar kematian akibat kanser hati dalam kelompok berisiko tinggi. Tanpa saringan, simptom biasanya muncul apabila penyakit sudah berkembang jauh — pada ketika itu, rawatan adalah lebih kompleks, mahal, dan hasilnya kurang memuaskan.
Cabaran dalam mengesan dan merawat kanser hati:
Kurangnya kesedaran awam bahawa mereka berisiko walaupun tanpa gejala. Begitu juga keterbatasan bilangan mesin ultrasound berkualiti dan kakitangan terlatih, terutama di kawasan pedalaman. Kos dan akses – walaupun hospital kerajaan menyediakan perkhidmatan, masih ada kos berkaitan perjalanan ke fasiliti kesihatan atau penangguhan temujanji. Tidak dinafikan, terdapat variasi dalam protokol saringan dan kekurangan konsistensi antara hospital/klinik.
Jalan penyelesaian:
Kesedaran awam harus dipertingkatkan melalui media nasional, kempen kesihatan awam, dan penerangan di klinik umum untuk mengenal pasti mereka yang berisiko. Akses kepada prosedur ultrasound yang berkualiti juga perlu diperluaskan kepada fasiliti kesihatan luar bandar dan klinik-klinik kesihatan kecil. Standardisasi protokol saringan juga amat penting agar semua pesakit berisiko tinggi mendapat cadangan saringan ultrasound dan ujian darah secara berkala. –UTUSAN
Dr. Khairul Najmi Muhammad Nawawi ialah Pakar Perunding Gastroenterologi & Hepatologi Sunway Medical Centre Ipoh










