Lihat kebaikan parkir pintar, kenaikan tarif air

Lihat kebaikan parkir pintar, kenaikan tarif air

MOHD. Shukri Ramli (tengah) selepas sidang DUN Perlis di Kangar, Perlis-UTUSAN/ADIB AKHYAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI dijangka, isu pelaksa­naan parkir pintar dan kenaikan tarif air di Perlis menghangatkan suasana sepanjang dua hari persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang ber­akhir semalam.

Wakil kerajaan dan pembangkang sama-sama membangkitkan dua isu tersebut yang masih berlegar-legar menjadi polemik dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Antara perkara dibangkitkan seperti rasional kenaikan tarif air dan kelemahan daripada aspek penerangan dalam mena­ngani isu khususnya melibatkan pelaksanaan parkir pintar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Persoalan-persoalan dijawab dengan baik dan jelas oleh Exco-Exco berkaitan termasuk Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli yang jika dinilai secara rasional, dua perkara tersebut adalah demi kebaikan rakyat dan negeri ini.

Mengenai pelaksanaan parkir pintar, kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar sentiasa mendengar keluhan pengguna dengan proses penambahbaikan terus dilakukan daripada masa ke semasa. Peralihan kepada sistem parkir pintar tersebut perlu disokong kerana ia sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam melaksanakan inisiatif Perlis Go Digital dan ke arah bandar pintar.

Jika dilihat, rakyat sebenarnya sudah mula faham dan menerima pelaksanaan sistem berkenaan. Dalam tempoh tidak sampai dua bulan dari 16 Mei hingga 30 Jun lalu, sebanyak 43,639 kenderaan dengan purata harian 3,637 kenderaan telah direkodkan melakukan transaksi bagi penggunaan sistem parkir pintar tersebut.

Menariknya lagi, daripada jumlah tersebut, sebanyak 37,033 kenderaan didapati menggunakan kemudahan parkir percuma 15 minit dengan membabitkan kira-kira 84.86 peratus daripada keseluruhan transaksi itu.

Manakala, daripada segi peng­gunaan aplikasi mudah alih pula, sebanyak 29,929 akaun telah didaftarkan di dalam sistem pelayan namun hanya 17,237 pengguna aktif membuat transaksi sepanjang tempoh tersebut dengan purata harian sebanyak 1,149 pengguna aktif.

Daripada aspek penyampaian atau penerangan bagi memberi kefahaman menyeluruh kepada pengguna, ia perlu dilaksanakan secara lebih agresif dan diselitikan unsur kreatif oleh kerajaan negeri, MPK dan syarikat pengendali.

Isu kenaikan tarif membabitkan caj minimum daripada RM7.20 kepada RM8.80 dengan peningkatan sebanyak RM1.60 pula, ia sebenarnya tidaklah terlalu tinggi.

Semakan itu sangat diperlukan bagi meningkatkan aktiviti penyelenggaraan aset uzur serta membaiki infrastruktur paip dan sistem agihan air usang yang mempunyai kadar kebocoran serta kehilangan air tinggi. Perlu diingat, Perlis antara negeri yang tarifnya tidak disemak hampir 30 tahun dengan semakan terakhir adalah pada tahun 1996.

Kerajaan negeri juga sedia mempertimbang pemberian re­bat air secara bersasar buat pengguna terdiri dalam kala­ngan golongan B40 dan pene­rima e-Kasih selepas penambahbaikan dilakukan terhadap perkhid­matan itu.

Pada masa ini, kerajaan negeri sememangnya memerlukan dana untuk menyelesaikan terlebih dahulu beberapa isu berkaitan perkhidmatan berkenaan, antaranya membabitkan paip uzur dan kadar air tak berhasil (NRW)-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini