Jurang generasi dalam kalangan masyarakat kita menjadi satu perkiraan penting bagi kita melihat citra wajah barisan kepemimpin negara ini pada masa akan datang.
Namun isu yang perlu dibentang dan dikupas adalah, sama ada kita sudah atau sedang membina barisan generasi pelapis bagi menggantikan pemimpin yang ada sekarang memandangkan cabaran mengisi barisan kepemimpinan amat mencabar.
Generasi yang ada sekarang berdepan pelbagai cabaran dan boleh beradaptasi dengan cabaran terkini, matang dalam membuat keputusan dan daya tahan tinggi, sedang generasi selepas ini dibarisi dengan karakter yang kurang meyakinkan, berperwatakan sebaliknya dengan generasi terdahulu mereka.
Mana tidaknya membicarakan isu-isu terkini generasi ini, kita akan terbayangkan adakah generasi tersebut sudah bersedia mengisi kekosongan barisan kepemimpinan dan layak mengisi kekosongan tersebut.
Ini kerana beberapa ciri ciri keperibadian golongan tersebut menimbulkan kesangsian tentang keupayaan mereka memimpin, kalau mereka mahu.
Antaranya generasi ini dianggap tidak mempunyai daya ketahanan diri, tidak matang membuat keputusan, manja, terlalu terbuka dalam membuat keputusan, mudah putus asa serta kerap atau banyak memberi alasan untuk melindungi masalah atau kelemahan diri.
Mereka juga tidak ada bimbingan atau petunjuk dalam membuat keputusan, sukar menerima pendapat orang lain termasuklah ibu bapa.
Seorang pakar psikologi tempatan Prof. Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali berkata, lebih memburukkan keadaan golongan tersebut yang digelar generasi strawberi tidak mendapat bimbingan ibu bapa atau penjaga dalam membuat keputusan, menjadikan mereka tidak ada panduan dalam hal hal sedemikian.
“Generasi ini digelar strawberi kerana nampak cantik di luar tetapi lembik di dalam, dan mereka terlalu rapuh dalam melayari kehidupan seharian. Generasi ini yang penuh dengan idea kreatif tetapi mudah berputus asa dan mudah rapuh seperti strawberi,” ujarnya.
Ciri ciri yang perlu ada mestilah ada dalam kalangan mereka iaitu ciri ciri awal dewasa seperti tidak berfikiran sempit, matang, berfikiran terbuka, boleh mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran serta mempunyai kepentingan diri atau ada matlamat untuk dicapai dan biasanya mereka mempunyai mentor sebagai pembimbing mereka untuk berjaya dalam kehidupan mereka.
Jika generasi berkenaan tidak mempunyai ciri ciri tersebut, mereka inilah yang digelar strawberi .
Lebih berisiko jika generasi ini memasuki fasa perkahwinan, mereka memerlukan sikap toleransi yang tinggi.
“Keadaan ini berpotensi meningkatkan masalah kesihatan mental kerana faktor kehadiran generasi strawberi,” ujar Shazli Ezzat.
Mengulas lanjut beliau berkata, empat faktor individu dikategorikan sebagai mengalami masalah kesihatan mental adalah apabila seorang gagal untuk berdaya tindak dengan tekanan kehidupan harian sehingga menjejaskan keupayaan mereka berfungsi mengurus diri dengan baik, tidak boleh berinteraksi dengan individu lain atau persekitaran, tidak produktif dalam pekerjaannya serta gagal menyumbang kepada persekitaran.
Karakter yang ada pada generasi ini iaitu terlalu terbuka, capaian global yang mudah, kebergantungan kepada alat digital yang tinggi, bersifat individualistik, aktif dalam pergerakan sosial dan politik, gemar menyuarakan pendapat, mudah menerima semua golongan dan bersifat multitasker iaitu boleh melakukan banyak perkara dalam satu masa menjadikan mereka mudah terjejas dari segi kesihatan mental jika apa yang diharapkan tidak dapat dicapai.
Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Dan Morbiditi 2015, menunjukkan 29.2 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah mental dan dijangka meningkat melebihi 10 peratus lagi menjelang tahun 2025.
Mengulas isu sama, Pegawai Psikologi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Muhammad Iman Hafeez Mukhatar beliau berkongsi pandangan bahawa generasi yang digelar sebagai strawberi ini merujuk kepada generasi muda terutama para remaja yang dianggap mudah terpengaruh, sensitif, serta kurang daya ketahanan diri dalam menghadapi tekanan dan cabaran.
“Istilah ini dianalogikan buah strawberi kerana buah tersebut mudah rosak, lembut dan sensitif terhadap tekanan daripada luar, “ujar beliau.

Menjelaskan lebih lanjut beliau berkata, memang benar, ada cabaran yang dihadapi oleh generasi muda hari ini, termasuk ketidakmatangan, kesukaran membuat keputusan, dan kebergantungan pada media sosial. Generasi muda kini mempunyai akses kepada maklumat yang luas dan teknologi yang canggih, yang boleh digunakan untuk kebaikan jika dibimbing dengan betul. Mereka juga lebih peka terhadap isu-isu global seperti isu semasa, politik, perubahan iklim dan keadilan sosial.
Kata beliau, dalam Teori Perkembangan Erik Erikson, iaitu pada tahap kelima– Identiti vs. Kekeliruan,
Identiti antara umur 12 tahun hingga 20 tahun, tugas remaja pada peringkat ini adalah untuk mendapatkan perasaan ego identity dan mengelak kekeliruan identiti.
Ego Identity bermakna mengetahui siapa diri mereka sendiri dan bagaimana cara menyesuaikan diri dalam masyarakat. Sekiranya remaja mengalami konflik dengan ibu bapa, maka mereka tidak dapat melihat ibu bapa sebagai teladan dan menyebabkan mereka mengalami krisis kekeliruan identiti. Ibu bapa, saudara-mara, guru dan masyarakat setempat memainkan peranan yang penting dalam membentuk personaliti dan insaniah yang positif.
Oleh itu, ibu bapa terutamanya serta masyarakat perlu dijadikan sebagai suri teladan (role model) kepada remaja untuk membentuk mereka menjadi pemimpin yang berkaliber dan berakhlak baik. Sekiranya usaha ini gagal, generasi pelapis ini akan mula meragui peranan dan fungsi dalam masyarakat seperti yang dinyatakan di dalam Teori Perkembangan.
Seorang kaunselor dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof. Dr Ahmad Jazimin Jusoh berpendapat kepelbagaian karakter dan ragam manusia menyebabkan tidak mudah seseorang manusia untuk memahami manusia yang lain.
Misalnya perbezaan golongan X, Y dan Z. Asasnya mereka mempunyai keperluan psikologi yang berbeza, nilai dan kepercayaan yang tidak sama, cara kerja yang berlainan dan pendedahan terhadap teknologi mengikut zaman mereka sendiri. Beliau berkata, pada perspektif generasi X dan Y, individu yang dikategorikan dalam generasi Z mempunyai kelebihan dari aspek teknologi dan internet. Penyelesaian hidup harus memanfaatkan teknologi dalam apa cara sekalipun. Hampir keseluruhan hidup mereka banyak dipengaruh
“Generasi Z adalah generasi muda sekarang merujuk kepada mereka yang lahir pada tahun 1977 hingga 2012,” ujarnya. Justeru itu, sebagai aspek pencegahan disinilah peranan kaunselor sangat penting dalam mengembalikan semula rasa kesedaran dalam kalangan generasi ini . Kaunselor harus membantu generasi ini untuk menerima realiti hidup dan bertanggungjawab terhadap situasi yang mereka alami.
Pada sama kita perlu berasa bimbang dengan generasi ini yang diharap dapat mengambil alih kepimpinan negara akan datang, sekiranya mereka layak dan mereka mahu. Berdasarkan komen komen pakar yang berkongsi pendapat dengan saya, saya tumpang bimbang tersebut. Apatah lagi kita dikongsikan dengan berita sebanyak 53,000 individu golongan muda di negara ini iaitu yang berusia bawah 30 tahun sudah dibebani hutang berjumlah hampir RM1.9 bilion.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, berdasarkan data Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), 28 peratus rakyat Malaysia dewasa yang bekerja meminjam wang hanya untuk membeli barangan keperluan. – UTUSAN








