“Ada orang kelihatan terlebih makan kentang goreng, macam terlupa ubi rebus”.
Itu kata-kata yang saya masih ingat ketika mewawancara Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari apabila berkongsi perasaan mengenai sikap orang kita yang lebih mengagungkan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.
Mengapa orang kata begitu?
Dalam sebuah majlis tertentu, apabila berucap dan perasan terdapat seorang warga asing berambut perang, individu yang berucap sedaya upaya bercakap bahasa Inggeris, walaupun mat salih itu seorang sahaja dalam majlis tersebut.

Isu itulah yang menyebabkan Hazami melontar kata-kata terlebih makan kentang goreng.
“Ya, itulah analoginya. Jika dikaji sindiran itu amat sinis, sebab kita lebih memuja kentang daripada ubi kayu yang juga sangat berkhasiat dan sudah mendarah daging dalam tamadun kita,” ujarnya lagi.
Apabila anda tidak dapat bercakap bahasa ibunda dengan baik, anda akan diperlecehkan, apatah lagi sering berbahasa Inggeris kerana menganggapnya lebih maju.
Sebab itu, apabila melawat ke kawasan perumahan baharu ketika ini, jangan terperanjat kerana namanya seolah-olah anda bukan berada di Malaysia.
Malah ada yang pernah mempertikaikan mengapa nama nama di Pusat Pentadbiran Putrajaya agak kebaratan, meski pun antara binaan awal di situ adalah struktur menyerupai tengkolok, pakaian tradisional orang Melayu.
Penggunaan precint, boulevard dan sentral ada di Putrajaya. Tidak tahulah sama ada warga Putrajaya berbangga di tinggal di situ kerana adanya nama nama tersebut.
Itu baru Putrajaya, belum lagi di kawasan lain yang menamakan nama monumen atau sebarang struktur, nama jalan dan perumahan yang agak keberatan. Isu ini mungkin sudah lapuk tetapi ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak mempromosikan istilah istilah yang jarang didengar dan bunyi lebih kemelayuan, kita ‘tertoleh’ ke arah lain.
Ketimbang, peluncuran dan merudum, dan baru-baru ini ada yang mempertikaikan apa itu merarau dan kudapan, sekadar menyebut beberapa contoh, ramai yang terpinga pinga atau buat-buat jengkel.

Mungkin kita perlu lebih banyak menggali secara berterusan bagi menemukan lebih banyak istilah Melayu untuk membuktikan kekayaan khazanah perbendaharaan dan istilah kita, apatah lagi ada banyak subetnik di dalamnya seperti Jawa, Bugis, Banjar, Minang dan banyak lagi yang belum kita ketahui. Itu belum lagi istilah dari Sabah dan Sarawak yang ada 32 etnik dan dan puluhan subetnik.
Bukan mudah sebenarnya mencipta istilah. DBP berkongsi kepada saya penetapan sesuatu istilah yang sedikit yang kongsikan di sini.
Menurut DBP, proses penetapan sesuatu istilah perlulah melalui Jawatankuasa Pembentukan Istilah atau Jawatankuasa Istilah Semasa (JKIS) DBP bagi mengesahkan ketepatan istilah tersebut.
Kata DBP, sesuatu istilah yang dihasilkan mestilah jelas, ringkas, tepat, berkonotasi yang baik, sedap didengar dan dibentuk berdasarkan kaedah atau prinsip pembentukan istilah yang betul seperti diperturunkan dalam buku Pedoman Pembentukan Istilah yang disepakati oleh negara anggota Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia (MABBIM); antaranya seperti yang berikut:
Pertama, ia berdasarkan konsep istilah. Sebagai contoh berkaitan nama atau genus seperti bangunan hospital, sekolah, pejabat.
Yang kedua berdasarkan kepada definisi yang merujuk pelbagai kamus antaranya ialah Kamus Dewan Perdana, Collins, Oxford, Cambridge dan lain-lain yang setara.
Yang ketiga adalah sifat konsep dan keempat perhubungan konsep seperti kenderaan – Kereta , bas, van (jenis kenderaan yang membawa seseorang atau sesuatu dari satu tempat ke satu tempat yang lain)
Kelima adalah ciri istilah iaitu konsep istilah yang mempunyai bentuk, saiz, fungsi bagi membantu penjelasan konsep manakala keenam ialah sistem konsep seperti contoh ikan adakah ikan keli, ikan pari, ikan kembung (konsep selari yang mempunyai taraf yang sama dengan kepelbagaian ciri daripada jenis yang sama).
Selain itu, pakar bidang juga akan dirujuk.
Mengenai isu papan tanda iklan yang sekarang dibangkitkan kerana dikatakan banyak menggunakan bahasa Inggeris, DBP mengambil beberapa langkah antaranya menyediakan perkhidmatan pengesahan bahasa secara dalam talian melalui dbpsahbahasa.my dan membuat teguran secara rasmi dengan menghantar surat dan jika perlu memberikan cadangan dalam bahasa Melayu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui undang-undang dan Garis Panduan PBT masing-masing dalam kelulusan lesen perniagaan dan pemaparan papan tanda. Isu ini juga amat sensitif kerana dan ada pihak tertentu yang mempertikaikan teguran PBT berkenaan di kawasan mereka apabila iklan berkenaan dianggap tidak sesuai kerana tidak menggunakan bahasa Melayu.
Seorang Ahli Majlis di sebuah kawasan PBT pedalaman Selangor pernah meluahkan kepada saya mengakui masalah ini dan berdepan sikap degil pelanggan berkenaan.
Sepatutnya apa yang dilaksanakan oleh PBT termasuk DBKL tidak menimbulkan masalah, malah sepatutnya disokong.
Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim menyifatkan pihak yang mempertikaikan tindakan DBKL itu sebagai tidak bertanggung jawab dan tidak memahami peruntukan undang-undang dan peraturan berkenaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di papan tanda yang terletak di kawasan PBT. Dalam industri hiburan pula, penggunaan bahasa Melayu kelihatan tidak terkawal apabila pengacara tidak begitu gemar berbahasa Melayu standard.

Bahasa Melayu seolah-olah dianggap tidak komersial dan terlalu rasmi atau skema untuk industri hiburan dan penyiaran.
Malah nama program dalam industri hiburan amat jarang dan segan menggunakan bahasa Melayu, tidak menarik atau tidak menggamit khalayak.
Mulanya kita ingat program daripada Perancis,negara Latin atau United Kingdom seperti contoh Fantasia, vaganza, Sure’dan entah apa lagi perkataan lagi lepas ini .
Dalam hal ini, juruhebah dan pengamal bidang penyiaran, DBP telah bekerjasama dengan Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR) dengan menerbitkan buku Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu dalam sebagai panduan.
Garis panduan mungkin tidak mencukupi kerana yang penting kesedaran mencintai bahasa bagi mengubah keadaan.
“Alasan yang dinyatakan ini amat tidak bertanggung jawab dan tidak harus dilayan,” ujar Dr. Raduan.
PEMUISI juga menggesa kerajaan menggubal undang-undang khusus bagi membolehkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap pesalah-pesalah bahasa, termasuk kesalahan di papan-papan tanda perniagaan agar bahasa kebangsaan digunakan dengan betul dan sempurna di kalangan masyarakat.
“PEMUISI pernah menyuarakan hal ini. DBP seharusnya mempunyai ‘taring atau gigi’ bagi membolehkan kesalahan bahasa ditangani dengan berkesan. Taring atau kuasa yang khusus dalam menangani dan menguatkuasakan kesalahan bahasa amat diperlukan, dan tidaklah sekadar memberi nasihat sahaja seperti amalan sekarang yang terbukti tidak berkesan”, katanya lagi.
Walaupun disyorkan DBP perlu ada taring penguat kuasaan, Hazami berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa tersebut melainkan PBT.
“DBP ada kuasa menasihat dan menegur (sahaja),” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya juga membuat teguran secara rasmi dengan menghantar surat dan jika perlu memberikan cadangan dalam bahasa Melayu. – UTUSAN







