JSPT pastikan kelancaran Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong hari ini

JSPT pastikan kelancaran Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong hari ini

MOHD. Yusri Hassan Basri ketika sidang akhbar di pekarangan Istana Negara, hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Seramai 378 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah diatur gerak bagi memastikan kelancaran Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Ibrahim, hari ini.

Pengarah JSPT, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kesemua pegawai dan anggota terlibat dipertanggungjawab bagi mengiringi kenderaan yang membawa kerabat diraja dan orang kenamaan bagi melancarkan perjalanan ke majlis berkenaan.

Kata beliau, JSPT juga akan memastikan kelancaran lalulintas selepas penutupan 14 jalan utama di ibu negara sepanjang majlis berlangsung.

“Kita lihat upacara hari ini merupakan peristiwa bersejarah kerana diadakan lima tahun sekali dalam menyaksikan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

“Diharap orang ramai akan memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan-arahan pegawai anggota trafik terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Istana Negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusri berkata, penugasan pagi ini turut mendapat kerjasama agensi lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bersama-sama memastikan kelancaran majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke- 17.

Beliau berkata, persiapan awal telah dibuat bagi memastikan setiap anggota dapat menjalankan tugas dengan efisien.

“Kita telah membuat pelbagai persiapan dengan bantuan kontinjen-kontinjen lain agar mereka tahu akan tugas dan peranan masing-masing.

“Kita tidak mahu berlaku kesilapan kecil yang akan mengundang perkara tidak diingini berlaku dan mencacatkan laluan perjalanan,” jelasnya.

Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 hari ini dalam istiadat penuh tradisi di Balairung Seri Istana Negara, di sini.

Seri Paduka Baginda melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu pada 31 Januari lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×