Menjelang pemilihan kepimpinan Amanah, apa yang dicari?

Menjelang pemilihan kepimpinan Amanah, apa yang dicari?

amanah
Amanah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU terakhir dalam Disember ini akan menjadi hari penentuan barisan kepemimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) yang lama, sama ada akan kekal atau diganti baru untuk memimpin parti bagi sesi 2023-2026.

Konvensyen Nasional Amanah 2023 pada 22 hingga 24 Disember ini juga akan berlangsung pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Bagaimanapun, dalam pemilihan Amanah, mana-mana pemimpin tidak perlu lagi mengharapkan mereka akan dipilih berdasarkan kesanggupan untuk menjadi pemimpin.

Kaedah ini tidak akan digunakan dalam pemilihan parti ini.

Tiada seorang pun calon dibenarkan berkempen bagi mencalonkan diri atau orang lain untuk merebut sesuatu jawatan dalam parti. Tiada kempen terbuka atau pembentukan kumpulan tokoh tertentu.

Model pemilihan Amanah ini tidak sama dengan parti politik lain di negara ini.

Dalam pemilihan parti untuk siri ketiga ini, Amanah akan mengekalkan model pemilihan kepemimpinannya berasaskan keputusan syura bagi membolehkan setiap pemimpin dinilai berdasarkan pencapaian.

Ini bermakna tiada seorang pun pemimpin Amanah boleh suka-suka mencalonkan diri bertanding dan tidak dibenarkan mencalonkan orang lain untuk merebut sesuatu jawatan dalam parti.

Dengan peraturan demikian diyakini ia dapat menghindari wujud plot atau komplot tertentu, yang kebiasaannya membangkitkan permusuhan, tuduhan liar dan fitnah.

Paling bagus, Amanah menolak politik kotor antaranya seperti ‘cah keting’ dan ‘chai’ dalam pemilihan kepemimpinannya.

Kaedah ini menggambarkan Amanah mengamalkan pemilihan pucuk pimpinannya secara syura dan muafakat.

Ahli-ahli parti yang kini lebih 200,000 itu tidak dibenarkan memilih secara langsung untuk jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden.

Terserah budi bicara dan pemikiran seramai 1,000 perwakilan yang akan memilih 27 calon bagi mengisi jawatankuasa pimpinan parti itu bagi sesi 2023-2026.

Kesemua 27 pemenang pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah ini akan bermesyuarat bersama-sama Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Wanita Muda untuk memilih presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden dan sebagainya. Dua lagi naib presiden akan dipilih oleh presiden yang dilantik.

Model pemilihan ini berdasarkan prinsip syura, ukhuwah dan perpaduan. Yang dipilih bukan atas dasar tokoh itu bersama dengan kelompok tertentu, tetapi dipilih atas merit diri sendiri.

Oleh itu, gerak geri dalam pemilihan 27 ahli jawatankuasa pimpinan Amanah itu juga perlu ada pemantauan.

Jangan wujud komplot untuk membentuk kumpulan dalam 27 anggota itu. Jika wujud, maka sia-sia peraturan dan pengalaman pahit yang dialami dalam peristiwa pemecatan 18 pemimpin daripada parti terdahulu yang sama-sama mereka perjuangkan.

Bagaimanapun, matlamat untuk mencegah manipulasi masih wujud. Kerana pemilihan ini, tidak dapat dielakkan ia membentuk kumpulan tertentu. Mana-mana kumpulan yang mengawal ahli jawatankuasa tertinggi akan mempunyai majoriti untuk memilih mana-mana individu yang mereka kehendaki.

Mana mungkin seorang ahli politik tidak mempunyai jiwa menjadi pemimpin atasan, apatah lagi jawatan nombor satu. Kalau tidak dapat juga, dipilih jawatan nombor dua atau tiga pun sudah boleh dibanggakan.

Oleh sebab naluri sebagai orang politik, tidak mungkin calon-calon berserah sahaja kepada perwakilan tanpa bergerak menjalankan kempen promosi diri dan apa yang ingin diperjuangkan untuk parti.

Agak mustahil dan ajaib kepada tokoh-tokoh yang pernah menikmati kuasa dan keistimewaan sebagai menteri, timbalan menteri dan pengerusi agensi kerajaan itu dan ini selama 22 bulan dahulu mahu membiarkan pemilihan jawatan penting parti tanpa menunjukkan kesungguhan gerak kerja bagi merebut jawatan berkenaan.

Hal ini kerana, para perwakilan sudah pasti akan membuat penilaian dengan mengambil kira kuasa, keupayaan dan rekod prestasi semua calon yang disenaraikan.

Sungguhpun kempen pemilihan Amanah tidak menonjol, namun tidak dapat dielakkan unsur persaingan pasti berlaku sepanjang tempoh menjelang pemilihan pada hujung bulan ini.

Perubahan jawatan utama juga akan membolehkan tokoh yang menang memperoleh ‘ganjaran hasil peperangan’ untuk diagihkan kepada rakan seperjuangan.

Apatah lagi dalam perebutan jawatan utama parti yang ‘menjanjikan’ kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagi jawatan Presiden Amanah, ada yang melihat wujud gerakan untuk menonjolkan Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof sebagai calon pilihan utama bagi jawatan Presiden yang baharu.

Sejak kebelakangan ini sudah dirasa gelombang yang mendekati dan cubaan untuk meyakinkan tokoh-tokoh yang bakal tersenarai nama dipilih sebagai 27 ahli jawatankuasa pusat parti, supaya dalam mesyuarat khas pemilihan jawatan utama nanti majoriti akan memihak kepada Mujahid.

Perkiraan ini boleh diterima sungguhpun Mujahid gagal mengekalkan kerusi Parlimen Parit Buntar. Rekod dilantik sebagai Jemaah Menteri selama 22 bulan boleh diambil kira. Kini beliau memegang jawatan Ahli Dewan Negara mewakili Perak.

Kedudukan Mujahid berbeza dengan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Mohamad Sabu yang sungguhpun mendapat undian ketujuh tertinggi pada pemilihan 2019-2022, tetap berstatus Ahli Parlimen dan berjawatan Menteri Pertahanan ketika itu.

Maka beliau terus mendapat kepercayaan menerajui parti ini untuk penggal kedua. Perlembagaan Amanah hanya membenarkan jawatan Presiden dipegang tiga penggal berturut-turut.

Ketidaktentuan suasana politik negara dengan pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali pada penggal lalu menyebabkan kedudukan kerusi Parlimen Amanah turut terjejas daripada memenangi 11 kerusi kepada lapan kerusi.

Ketidaktentuan suasana ekonomi dunia dan Malaysia juga menyebabkan Mohamad sibuk menguruskan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam menangani isu kekurangan bekalan makanan dan peningkatan harga barangan.

Dalam kesibukan menyelesaikan masalah rakyat, wujud tohmahan Mohamad sudah kurang mendekati akar umbi parti. Jika dibandingkan dengan parti-parti yang lahir selepas perpecahan besar daripada parti asal, Amanah baeu lapan tahun dipimpin oleh Mohamad sedangkan Parti Keadilan Rakyat yang lahir 1999 masih diterajui sejak 25 tahun oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Apakah Amanah sememangnya memerlukan seorang tokoh yang memiliki PhD supaya parti nampak hebat? Atau biarlah Amanah dipimpin tokoh yang sederhana kecerdikannya tetapi disenangi banyak pihak? Begitu juga penilaian dalam memilih tokoh bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden dan lain-lain.

Amanah kini mempunyai lapan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Mereka ialah Mohamad Sabu, (Kota Raja) yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Naib Presiden, Adly Zahari, (Alor Gajah) Timbalan Menteri Pertahanan merangkap ADUN Bukit Katil; Aiman Athirah Sabu (Sepang) Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, (Kuala Selangor) Pengerusi IJN Holdings; Mohd Sany Hamzan, (Hulu Langat) Timbalan Pengerusi TEKUN; Azli Yusof, (Shah Alam); Aminolhuda Hassan (Sri Gading) dan Suhaizan Kayat (Pulai).

Kedudukan mereka ini dilihat memperkukuhkan peluang untuk dipilih semula dalam jawatan tinggi parti.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu, lima tokoh Amanah tewas. Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli bersama Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof dan Datuk Mahfuz Omar; Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad dan Pengarah Pilihan Raya, Datuk Asmuni Awi tewas kepada pesaing masing-masing.

Tokoh yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara juga berpeluang dipilih menganggotai 27 orang ‘pempengaruh’ dalam pemilihan Amanah.

Mereka ialah Mohd. Hasbie Muda, Mohd. Hatta dan Mujahid Yusof. Sementara Mahfuz Omar pula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang.

Amanah mempunyai 11 ADUN dan di bawah Pakatan Harapan, mereka bersama-sama menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dan mempunyai satu wakil di Johor. Peluang mereka juga agak cerah dipilih dalam kalangan 27 ahli jawatankuasa tertinggi parti.

Memandangkan dua pesaing bagi jawatan Naib Presiden Amanah iaitu Mujahid dan Mahfuz tewas dalam PRU-15, maka peluang Adly Zahari untuk dipilih sebagai Naib Presiden adalah cerah.

Pemilihan jawatan utama Amanah pada hujung tahun ini bukan berdasarkan siapa layak memegang jawatan nombor satu dan seterusnya, sebaliknya memilih membentuk pasukan kerja untuk kelangsungan parti yang masih muda itu.

Sekiranya calon popular mendapat undian tertinggi, individu itu tidak semestinya dilantik sebagai Presiden. Kuasa memilih diserahkan kepada Ahli Jawatankuasa Kepimpinan Negara dan beberapa kumpulan kepimpinan lain. Di situ kelainan sistem memilih Presiden Parti Amanah.

Semua pandangan pemimpin Amanah harus dicermati, disusun dan diperkemas kerana semua pihak mempunyai matlamat yang sama. Tiada agenda dalam agenda. Tiada kumpulan dalam kumpulan. Yang dibina kukuh adalah jati diri ahli dan kepemimpinan Amanah-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×