Banjir gelombang ketiga di Terengganu semakin surut - Utusan Malaysia

Banjir gelombang ketiga di Terengganu semakin surut

SEORANG penduduk melihat keadaan paras air banjir yang semakin surut di pekarangan rumahnya di Kampung Pulau Rusa Hilir, Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hari keenam banjir gelombang ketiga di Terengganu semakin surut apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 6,281 orang daripada 1,756 keluarga setakat pukul 8 pagi ini berbanding 7,108 orang (2,001 keluarga) pada 4 petang semalam.

Cuaca yang baik semalam juga menyebabkan kebanyakan paras sungai di Terengganu kembali ke aras normal dan mempercepatkan lagi proses pemulihan banjir di semua daerah.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, ketika ini masih terdapat 59 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi di lapan daerah di Terengganu.

Menurutnya, daerah yang paling teruk terjejas iaitu Hulu Terengganu terus menunjukkan penurunan jumlah mangsa kepada 1,666 orang (497 keluarga) di 10 PPS berbanding 2,380 orang (739 keluarga) di 18 PPS petang semalam.

Katanya, situasi sama berlaku di Dungun apabila mangsa terus berkurangan sedikit kepada 2,849 orang (785 keluarga) di 31 PPS berbanding 2,905 orang (779 keluarga) di 33 PPS petang semalam.

“Di Kemaman, mangsa juga terus berkurangan kepada 843 orang (231 keluarga) di enam PPS berbanding 947 orang (259 keluarga) di lapan PPS sebelum ini.

“Penurunan juga berlaku di Setiu apabila hanya 125 mangsa (30 keluarga) masih berada di empat PPS pagi ini berbanding 176 mangsa (45 keluarga) di tujuh PPS petang semalam.

“Banjir di daerah Besut juga semakin pulih dengan hanya 66 orang (19 keluarga) masih berlindung di sebuah PPS berbanding 72 mangsa (20 keluarga di dua PPS petang semalam,” katanya di sini, pagi ini.

Bagaimanapun, situasi berbeza berlaku di Kuala Nerus apabila jumlah mangsa bertambah sedikit kepada 401 orang (108 keluarga) berbanding 340 orang (88 keluarga) sebelum ini dan jumlah PPS kekal sama di tiga lokasi.

Keadaan sama juga berlaku di Kuala Terengganu apabila mangsa meningkat kepada 210 orang (55 keluarga) berbanding 167 orang (40 keluarga) sebelum ini dan jumlah PPS kekal di tiga lokasi.

Mangsa banjir di daerah Marang pula kekal tidak berubah iaitu 121 orang (31 keluarga) di satu PPS ketika ini.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan paras air di Terengganu semakin baik dengan hanya tiga sungai masih melepasi paras bahaya iaitu di Dungun, Kuala Terengganu dan Kemaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya