BANJIR dahsyat melanda timur Libya yang meragut lebih 2,000 nyawa susulan tempias ribut Daniel membadai sebahagian Eropah mungkin tiada kesan ke atas Malaysia.
Impaknya tidak sama dengan gempa buruk di Maghribi akhir minggu lalu meskipun angka kematian lebih kurang sama dan dipisahkan jarak dua negara itu kira-kira 4,000 kilometer.
Ironinya di sebalik dua bencana alam itu, tentu ramai kurang sedar Malaysia tidak dapat berbuat sesuatu di Libya dek tiada kedutaan di ibu kotanya, Tripoli hampir sedekad lepas.
Wisma Putra terpaksa menutup misi diplomatik pada 6 Ogos 2014 ekoran konflik dalaman dan kejatuhan Presiden Muammar Gaddafi akibat revolusi Arab Spring.
Setakat artikel ini ditulis, tiada sebarang kenyataan rasmi Kementerian Luar mengenai nasib warga Malaysia di negara rantau Afrika Utara itu, jauh berbeza dibandingkan Maghribi.
Walhal dua kejadian malapetaka itu hanya berlaku selang beberapa jam namun situasi berlaku di Libya seolah-olah dilupakan meskipun mangsa di sana juga beragama Islam. Kelompangan senario itu wajar ditangani dan jaminan.
CANSERI
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir bagi membuka semula canseri Malaysia di Tripoli harus disegerakan.
Beliau ketika sidang akhbar di Wisma Putra pada 26 Mac lalu menyenaraikan Libya selain Iraq dan Syria antara dipertimbangkan bagi kedutaan negara ini boleh kembali beroperasi. Ketika membentangkan Belanjawan 2023 kerajaan memperuntukkan RM971,134,100 untuk Kementerian Luar tahun ini.
Tambahan dana berbanding cuma RM868,506,400 tahun lalu bakal membolehkan Wisma Putra membuka balik misi perwakilannya di beberapa buah negara.
Apatah lagi, ia selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah ketika menerima watikah pelantikan Duta Libya baharu ke Malaysia, Mohammad Sadiq Attia tahun lepas.
Kepentingan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) itu bukan kecil malahan ada enam firma Malaysia bertapak kukuh di Libya terutamanya dalam bidang minyak dan gas.
Sektor pendidikan tinggi pula menyaksikan lebih 1,000 pelajar Malaysia ditaja kerajaan Libya untuk menuntut di pelbagai institusi pengajian terbaik di seluruh negara berkenaan.
Justeru, sudah tiba masa Wisma Putra memulihkan semula kedutaan Malaysia di Libya yang peranan itu diakreditasikan kepada misi diplomatik negara kita di Algeria sejak 2014. – UTUSAN










