Menteri, VIP, pemimpin sukan tidak kalis kritikan

Menteri, VIP, pemimpin sukan tidak kalis kritikan

KONTINJEN Para ASEAN pulang dari Kemboja dengan cemerlang mengutip 50 pingat emas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUTUR kata pemimpin tertinggi negara sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang disambut pada 27-29 Mei lalu harus menyalakan semangat generasi wartawan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pengamal media menyebarkan maklumat bersandarkan ilmu dan nilai, selain kekal bebas sepenuhnya daripada sebarang bentuk pengaruh dan tekanan manakala Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata media berperanan membina negara melalui prinsip semak dan imbang.

Sejarah menunjukkan golo­ngan kerabat diraja dan bangsawan mahupun marhaen, pembuat dasar atau ahli politik, bahkan Menteri tidak terkecuali daripada kritikan atau kecaman ketika Malaysia rancak bersiap menganjurkan Sukan Komanwel 1998.

Pucuk pimpinan bola sepak pula sentiasa dijadikan sasaran kritikan, berlarutan sehingga dibincangkan ke peringkat Parlimen. Tanyalah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tan Sri Hashim Mohd. Ali mahupun Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam dunia media sosial yang dikuasai warga maya, pandangan kritis yang bersandarkan keikhlasan, objektif dan adil daripada pengamal media dituntut dalam membina bangsa.

Atas semangat ini, izinkan penulis bertanya: Jika ketidakstabilan politik dijadikan alasan kontinjen negara gagal menepati sasaran Sukan SEA di Kemboja, mengapa kontinjen Para ASEAN boleh melepasi sasaran 33 pingat emas?

Kenapa Jawatankuasa Ter­tinggi Sukan Malaysia (Sukma) membenarkan lima lagi sukan disenaraikan untuk temasya itu di Sarawak tahun depan, sedangkan kenyataan Majlis Sukan Negara (MSN) pada Mac lalu menegaskan pemilihan jenis sukan ke Sukma dibuat secara terbuka, menerusi sesi libat urus dengan semua pemegang taruh di peringkat Pusat dan negeri-negeri tanpa ada sebarang prejudis kepada mana-mana jenis sukan lainnya?

Kenapa MSN yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, diam seribu bahasa di sebalik tuduhan Datuk Azizulhasni Awang yang mendakwa MSN tidak menepati janji yang ditetapkan ketika membawa beliau dan keluarga pulang dari Melbourne?

Penulis berasa pelik kerana dari zaman Datuk Kamalul Ariffin Abdul Rahim, Datuk Wira Mazlan Ahmad, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong hinggalah Datuk Ahmad Shapawi Ismail selaku Ketua Pengarah MSN, agensi itu akan segera menjawab sebarang isu yang ditimbulkan dalam media.

Tapi dalam senario hari ini yang sepatutnya jauh lebih terbuka dan bersandarkan laporan kemas kini 24 jam, MSN diam berpeluk tubuh. Tiada kenyataan balas untuk menafikan dakwaan Azizulhasni.

Apakah ini atas arahan bos? Bukankah diam tanda bersalah?

Kenapa pula Jawatankuasa Road to Gold (RTG) yang turut dipengerusikan oleh Hannah, mengeluarkan kenyataan menerusi penyelarasnya, Datuk Stuart Ramalingam, tanpa sedikitpun menjelaskan satu-persatu tuduhan Azizul?

Pengamal media wajar melontarkan persoalan yang mencabar minda atas prinsip semak dan imbang, asalkan ia bertujuan membina, tanpa prejudis dan tidak menyerang peribadi.

Sewajarnya, mana-mana Menteri dan tokoh bergelar VIP tidak terkecuali daripada proses ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN