SELAGI UMNO tidak menyelesaikan isu perpecahan dalam parti, selagi itulah mereka tidak boleh membincangkan gerak kerja dan persiapan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pada pertengahan tahun ini.
Hal ini kerana perpecahan dalam UMNO semakin parah dengan wujud desakan pihak tertentu agar kepimpinan berundur ekoran kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di samping tuntutan mempercepatkan pemilihan parti.
Apatah lagi punca kekalahan parti sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini ekoran wujudnya kluster tertentu dalam parti sehingga menyebabkan berlaku kem-kem tertentu dan kemudian berlakulah cantas-mencantas serta boikot-memboikot calon.
Dijangka situasi itu bertambah getir kerana dijangka UMNO perlu mengadakan pemilihan parti sebelum 19 Mei ini manakala PRN pula berlangsung pada Jun.
Belum lagi PRN dan pemlihan diadakan, perpecahan parti boleh disaksikan setelah beberapa pemimpin UMNO secara terbuka mengkritik sesama sendiri selang sehari keputusan PRU15 dan keadaan tersebut berterusan sehingga Perhimpunan Agung UMNO 2022 berlangsung.
Apatah lagi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka menyebut 10 ahli Parlimen BN menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri di hadapan lebih 2,000 perwakilan sewaktu Taklimat Presiden kelmarin dan ia telah menambah ‘luka’ perpecahan parti.
Malah tindakan UMNO dan BN bersama-sama Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan telah menimbulkan perasaan tidak puas akar umbi yang menyifatkan keputusan itu bertentangan prinsip Perhimpunan Agung UMNO 2020 iaitu ‘No Anwar, No DAP, No Bersatu’ memburukkan keadaan.
Justeru itu, UMNO hendaklah menyelesaikan perpecahan parti sebelum PRN terlebih dahulu jika mahu tidak mengulangi drama kekalahan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang menyaksikan parti itu hanya menang 26 kerusi sahaja.
Ditambah pula Gelombang Perikatan Nasional (PN) yang semakin membara, tidak mustahil kedudukan UMNO dan BN boleh tergugat khususnya membabitkan kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu boleh disapu bersih Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti berlaku di Perlis.
Bagaimana untuk menyatukan kesatuan dalam UMNO terserah kepada ahli-ahli sendiri dalam mencorakkan kaedah terbaik untuk meleraikan kekusutan itu. Mengadakan pemilihan atau tidak, jawapannya terserah kepada kehendak perwakilan sendiri.
Mungkin mereka mengambil peringatan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menegaskan parti bakal ‘ditalkinkan’ sedekad mendatang jika masih wujud sikap berpuak-puak dalam parti.
Justeru Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan sekarang adalah masa untuk bersatu dan bersama-sama dalam satu pasukan UMNO.
“Kepada ketua-ketua kabilah dalam UMNO ini, Allah telah memberikan kamu peluang untuk menikmati kuasa, dan nikmat kesenangan melalui UMNO,” katanya dalam ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. – UTUSAN










