Bubar DUN: Harapan rakyat, ego pemimpin

Bubar DUN: Harapan rakyat, ego pemimpin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DESAS-DESUS Pakatan Harapan (PH) mungkin membuat ‘pusi­ngan U’ dan turut membubarkan tiga Dewan Undangan Nege­ri (DUN) di bawah pentadbiran mereka bagi membolehkan pilihan raya dijalankan serentak semakin bertiup kencang.

Di Pulau Pinang misalnya, cakap-cakap mengenainya semakin meluas termasuk dalam ka­langan pemimpin parti politik.

Jika menjadi kenyataan, ia bukan sahaja berita menggembirakan buat majoriti penduduk, malah pemimpin PH Pulau Pinang sendiri pastinya berasa lega dan gembira.

Dalam konteks Pulau Pinang pembubaran DUN serentak Parlimen atau berasingan tidak akan memberi pengaruh besar sokongan kepada PH.

Tidak ada parti ketika ini yang berani mengakui mampu menumbangkan DAP di Pulau Pinang, waima Gerakan sekali pun yang kini bekerjasama de­ngan Perikatan Nasional (PN) mempunyai sejarah hampir 40 tahun mentadbir di negeri itu.

Atas alasan itu juga Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini berharap dapat membubarkan DUN serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meskipun pada akhirnya terpaksa ‘mengalah’ kepada keputusan kepimpinan PH Pusat.

Sesuatu yang pasti tindakan akur dan tunduk untuk tidak membubarkan DUN itu akan memberi kesan kepada soko­ngan yang bakal diterima daripada pengundi, bukan hanya di Pulau Pinang malah di negeri-negeri lain dikuasai PH.

Ketika ini juga sudah mula kedengaran rasa kecewa dan tidak puas hati penduduk yang perlu mengorbankan masa dan tenaga untuk dua kali mengundi sedangkan mereka boleh melunaskan hak serta tanggungjawab itu pada masa yang sama.

Soal banjir yang sering dimomokkan pemimpin PH Pusat bagi mengelak PRU15 serentak sukar diterima penduduk Pulau Pinang kerana pada kebiasaannya negeri itu tidak berdepan bencana banjir besar pada pe­ralihan monsun Timur Laut.

Jika banjir sekali pun, mereka masih tetap perlu keluar mengundi untuk kerusi Parlimen sekali gus mempersoalkan di mana logiknya keputusan PH Pusat enggan DUN serentak.

Sebab itu ramai kecewa apabila keputusan itu tidak lebih sekadar keputusan politik.

Maka tidak mustahil jumlah peratusan keluar mengundi khususnya bagi DUN yang akan diadakan selang beberapa bulan lagi termasuk di Pulau Pinang menjadi terlalu rendah kerana suara-suara untuk memboikot pilihan raya itu kelak semakin kuat kedengaran ketika ini.

Ini juga adalah senario yang ditakuti PH Pulau Pinang khususnya DAP yang mana peratusan pengundian yang rendah akan menyebabkan majoriti undi diperoleh calon mereka berkurang sekali gus mungkin kehilangan kerusi.

Jika ia berlaku, Pulau Pinang selepas ini tidak lagi boleh berbangga sebagai kubu kuat kepada PH seperti mana ketika ini yang mana mereka menguasai 33 daripada 40 kerusi DUN.

Sebab itu usaha memberi tekanan kepada PH Pusat khususnya dari Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan khabarnya terus berlangsung.

Sehingga hari penamaan calon, masih ada masa untuk negeri-negeri di bawah PH termasuk Pulau Pinang memohon perkenan membubarkan DUN.

Sekiranya pemimpin PH Pusat benar-benar mendengar suara dan harapan penyokong mereka dan bukan membuat keputusan berlandaskan kepentingan politik semata-mata, maka harapan rakyat supaya pilihan raya DUN diadakan se­rentak dengan PRU15 tidak diabaikan begitu sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN