Hasil R&D MPOB untuk dikomersialkan - Utusan Malaysia

Hasil R&D MPOB untuk dikomersialkan

Poliol berasaskan sawit boleh digunakan untuk melindungi dan mengukuh jahitan rumput pada permukaan karpet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah membangunkan teknologi pemakanan dan nutraseutikal berasaskan sawit untuk pengkomersialan oleh syarikat tempatan.

Tiga teknologi yang ditawarkan untuk pengkomersialan adalah antara yang dipersetujui oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Antara teknologi atau formulasi yang ditawarkan ialah produk tablet boleh kunyah Vitamin E atau Pecahan Kaya-Tokotrienol Sawit yang telah memenangi Anugerah Pingat Emas pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa Ke-28 (ITEX 2018).

Tablet boleh kunyah yang diperkayakan dengan tokotrienol sawit adalah produk yang berkhasiat, lazat dengan pelbagai perisa berasaskan vitamin E sawit atau pecahan kaya-tokotrienol (TRF) sebagai bahan aktif utama.

Produk tersebut mengandungi antara 70 hingga 80 peratus vitamin E tokotrienols dan 20 hingga 30 peratus vitamin E tokoferol yang mempunyai pelbagai manfaat kesihatan termasuk mengatasi kekurangan vitamin E.

Vitamin daripada sawit ini berfungsi sebagai antioksida yang mampu melambatkan proses penuaan dan melindungi sel tubuh daripada kerosakan melalui proses pengoksidaan.

Vitamin tersebut mempunyai ciri antipenuaan, antibarah, antiradang, antidiabetes, mampu mengurangkan kadar kolesterol, menjaga kesihatan jantung, baik untuk otak (terutama kanak-kanak), melindungi fungsi kognitif (mengelakkan nyanyuk dan Parkinson) dan banyak lagi kebaikan kesihatan dan juga baik untuk kulit, mata, rambut dan kuku.

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, teknologi dan formulasi produk makanan dalam industri sawit yang dibangunkan oleh MPOB menyediakan peluang perniagaan kepada syarikat tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari segi pengkomersialan.

Dr. Ahmad Parveez
Ghulam Kadir.

Syarikat pengeluar produk makanan digalakkan mengkomersialkan tablet boleh-kunyah vitamin E itu yang berpotensi besar untuk dipasarkan sebagai makanan yang diperkaya atau berfungsi sebagai produk kesihatan dan nutraseutikal.

Penggunaan minyak sawit dan produk keluarannya dalam formulasi makanan akan meningkatkan nilai tambah yang akan memperluas penggunaan minyak dan produk berasaskan sawit.

MPOB juga membangunkan teknologi poliol berasaskan sawit untuk penghasilan penglitup poliuretana bagi pasaran karpet rumput tiruan hiasan atau sukan.

Poliol berasaskan sawit boleh digunakan untuk menghasilkan formulasi penglitup poliuretana berasaskan sawit untuk digunakan bagi menglitup pada permukaan belakang karpet sukan dan karpet rumput tiruan hiasan.

Penggunaan poliol berasaskan sawit bertujuan melindungi dan mengukuhkan jahitan rumput tiruan pada permukaan karpet. Malah, ia juga memberi kesan kusyen dan kekuatan mampatan yang sesuai dengan penggunaan karpet tersebut.

Penggunaan penglitup poliuretana berasaskan sawit dapat memenuhi permintaan pengguna terhadap produk yang lebih mesra alam dan tahan lasak.

Pengkomersialan teknologi MPOB akan meningkatkan penggunaan minyak sawit bagi pengeluaran produk pelekat.

Teknologi ini merupakan strategi tambah nilai produk sawit dan menyediakan produk yang dihasilkan daripada sumber boleh diperbaharui kepada sektor industri dan pengguna.

MPOB juga menawarkan teknologi dan formulasi produk pembersih tangan dan pelembap dengan Vitamin E. Pembangunan teknologi ini telah mempelbagaikan penggunaan oleokimia sawit dan Vitamin E dalam produk pencuci khususnya bagi menangani penularan Covid-19.

Penggunaan cecair sanitasi adalah sangat penting untuk membersihkan tangan dan mengurangkan jangkitan virus Covid-19.

Pensanitasi tangan konventional biasanya mengandungi kandungan alkohol yang tinggi dan boleh menyebabkan kulit menjadi kering dan berupaya merosakkan kulit jika kerap digunakan.

Dengan formulasi pensanitasi yang diperkaya dengan gliserin dan vitamin E sawit, selain membersihkan tangan, ia juga meningkatkan dan mengekalkan kelembapan kulit serta melindunginya daripada kerosakan akibat radikal bebas.

Syarikat tempatan dan pengusaha industri kecil dan sederhana wajar mengambil peluang perniagaan untuk mengkomersialkan teknologi berasaskan sawit yang dibangunkan oleh MPOB yang mempunyai potensi pasaran yang luas termasuk di luar negara.

“Penglibatan syarikat tempatan dalam pengkomersialan teknologi yang dibangunkan oleh MPOB akan meningkatkan kemajuan industri hiliran, terutamanya dalam pengeluaran produk tambah nilai berasaskan sawit yang menjana pendapatan tinggi,” kata Dr. Ahmad Parveez.

Kemajuan industri sawit hasil inovasi teknologi yang dibangunkan oleh MPOB memberi manfaat besar kepada rakyat dalam menjamin kehidupan harian yang lebih baik.

MPOB komersialkan 704 teknologi, inovasi
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sehingga kini berjaya menghasilkan 704 teknologi dan inovasi termasuk formulasi produk dan perkhidmatan dalam sektor sawit yang ditawarkan untuk pengkomersialan kepada pihak industri dan usahawan tempatan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, sebagai agensi utama peneraju bidang penyelidikan dalam industri sawit, MBOP berperanan penting dalam menjana inovasi dan teknologi bagi kemajuan industri sawit negara.
Ini kerana katanya, kemajuan bidang penyelidikan yang menjana teknologi dan inovasi baharu merupakan strategi penting pembangunan mampan industri sawit negara.
“Pencapaian bidang penyelidikan memberi manfaat kepada kemajuan industri sawit dan bidang saintifik,” katanya dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2020, di Bangi baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut beliau menyampaikan anugerah kepada pemenang bagi kategori Anugerah Penerbitan (impak faktor 3.0 ke atas), Anugerah Saintis Harapan, Anugerah Saintis Cemerlang, Anugerah Khidmat Cemerlang, Anugerah Khidmat Bakti, Anugerah Khidmat Emas dan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Piala Pusingan Ketua Pengarah.
Beliau berharap majlis tersebut dapat mencapai matlamat dalam memberi penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada semua pemegang taruh termasuk industri, pekebun kecil dan pelabur.
Beliau turut menanam benih klon sawit CPS2 yang mampu meningkatkan produktiviti sawit, di pekarangan ibu pejabat MPOB.
Baka klon CPS2 berupaya mengeluarkan 35.7 tan sehektar setahun hasil buah tandan segar dengan pengeluaran hasil minyak sawit sehingga 10.8 tan sehektar setahun.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB menerima pengiktirafan dalam bidang saintifik dan inovasi penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun lepas.

Pencapaian MPOB 2020

 Diiktiraf sebagai pemenang bagi anugerah The South and South East Asia Innovation Awards 2020 di bawah kategori Pertubuhan Penyelidikan Kerajaan daripada Clarivate™.
 Diiktiraf Top Innovator di Malaysia yang diumumkan sempena Clarivate South & South East Asia Innovation Forum 2020.
 Empat anugerah Hadiah Produk Inovatif Malaysia (MIPA) pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) Terbaik Antara Yang Terbaik serta tiga pingat emas dan satu perak.
 Menerima dua emas, dua perak dan dua gangsa pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2020.
 Penyelidik MPOB juga diiktiraf Pemenang Anugerah Utama Tahun Pengkomersialan Malaysia 2020 (MCY 2020) bagi kategori Anugerah Usahawan Penyelidik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN