TEBING BARAT: Tentera Israel menyerbu biro Al Jazeera di Ramallah, Tebing Barat semalam, dan memaksa rangkaian berita yang berpangkalan di Qatar itu untuk menghentikan operasinya.
Pasukan itu lengkap bersenjata dan bertopeng menceroboh bangunan pejabat Al Jazeera dan menyerahkan perintah penutupan selama 45 hari kepada Ketua Biro Tebing Barat, Walid al-Omari.
Bagaimanapun, tentera Israel tidak memberikan alasan untuk keputusan itu.
Wakil Al Jazeera di Ramallah, Nida Ibrahim berkata, serbuan dan perintah penutupan biro Tebing Barat bukan tindakan mengejutkan selepas larangan awal terhadap laporan dari dalam Israel.
“Kami mendengar pegawai Israel mengancam untuk menutup biro ini.
“Kami juga mendengar kerajaan membincangkan perkara ini, meminta pemerintah tentera di Tebing Barat untuk menutup saluran ini, namun tidak sangka akan berlaku hari ini,” katanya.
Serbuan pada Ahad berlaku hanya beberapa bulan selepas kerajaan Israel melarang Al Jazeera daripada beroperasi di dalam Israel pada Mei lalu.
Perintah penutupan awal itu juga untuk 45 hari, namun diperbaharui menyebabkan wartawan Al Jazeera sehingga kini masih tidak dapat membuat liputan dari dalam Israel.
Susulan itu, Al-Omari turut bimbang tindakan sama berlaku pada biro Al Jazeera di Tebing Barat.
“Menyasarkan wartawan dengan cara ini selalu bertujuan untuk menghapuskan kebenaran dan menghalang orang ramai daripada mendengar kebenaran,” katanya.










