Toleransi agama jangan sampai gadai prinsip

Toleransi agama jangan sampai gadai prinsip

TOLERANSI yang diamalkan tidak bermakna kita harus menggadai maruah dan prinsip dalam mempertahankan hak-hak kita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROBERT Winston dalam bukunya The Story of God pada Bab 6 ‘Muhammad and Islam’ memberikan gambaran bahawa Islam adalah agama yang cukup toleran. 

Merujuk kepada kenyataan Robert Winston itu jelas bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan hubungan baik dengan penganut agama lain. Dalam konteks ini, antara pendekatan yang diamalkan Islam ialah mengamalkan sikap toleransi (tasamuh). Sikap bertasamuh inilah selari dengan sebahagian daripada pengertian Islam sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam seperti yang dijelaskan oleh firman Allah dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 107.

Rahmat adalah satu sifat yang mempunyai pengertiaan menghubungkan kebaikan dan kemaslahatan kepada hamba-Nya. Ia berkait rapat dengan sifat Ar-Rahman Allah dan Maha Pemurahnya Allah. Justeru, Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad adalah agama yang menganjur dan mengamalkan sikap toleransi dan tolak ansur. 

Namun, ia mesti diamalkan dengan menjaga batas-batas atau sempadan-sempadan tanpa menggadaikan prinsip memelihara kemuliaan dan kedaulatan Islam terutama dalam perkara berkaitan dengan dasar-dasar agama Islam itu sendiri.

Surah al-Kafirun boleh dijadikan pegangan dalam hal ini kerana surah ini jelas memberi jaminan kepada kebebasan manusia untuk memilih mengamalkan agama masing-masing tetapi penganut Islam mesti tetap tegas berpegang kepada prinsip tauhid tanpa berkompromi dengan fahaman atau syirik. Surah tersebut sebenarnya turun apabila orang Musyrikin cuba berdialog dengan Rasulullah dengan menyarankan kepada baginda agar mengambil jalan tengah dalam beribadat kepada Tuhan.

Golongan Musyrikin tersebut menyarankan baginda menyembah tuhan-tuhan mereka selama setahun, kemudian mereka pula akan menyembah Allah selama setahun juga. Allah menegah baginda berbuat demikian dengan menurunkan wahyu tersebut, Harus difahami dengan jelas bahawa prinsip atau dasar tauhid atau mengesakan Allah dalam peribadatan kepada Allah adalah perkara pokok dalam akidah Islam yang tidak boleh digadai atau dipermain-mainkan.

Umat Islam tidak boleh sama sekali bertoleransi atau bertolak ansur dalam perkara dasar ini. Hakikatnya, akidah bukanlah perkara yang boleh dikompromi dengan sebarang bentuk kesyirikan serta soal-soal keduniaan yang boleh menyebabkan rosaknya keimanan. Walaupun Islam tidak boleh bertoleransi dengan perkara keimanan, namun Islam juga dengan tegas melarang orang-orang yang beriman mencela sembahan-sembahan penganut agama lain.

Maknanya Islam dengan jelas membawa mesej memberi kebebasan penuh kepada manusia untuk memilih sama ada mahu beriman atau memilih kekafiran sebagai pegangan hidup. Justeru, dalam konteks negara kita yang berbilang agama, maka setiap pemeluk agama dan kepercayaan bebas untuk mempraktikkan agama masing-masing secara aman dan harmoni.

Perkara ini jelas dinyatakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, iaitu berkaitan agama Islam sebagai agama Persekutuan, manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Setiap penganut agama mestilah menjauhi sikap konfrontasi secara terbuka terhadap penganut agama lain. Antara cara terbaik ialah mengelak perdebatan umum berkaitan kepercayaan agama lain. Yang penting, sikap hikmah dan bijaksana perlu dijadikan wadah pembicaraan isu-isu sensitif dalam soal-soal berkaitan agama, kaum budaya dan sebagainya. Oleh itu, isu-isu agama tidak patut dibicarakan secara terbuka kerana ia boleh menyinggung perasaan penganut lain.

Dalam konteks kebebasan beragama, maka orang bukan Islam juga harus memahami dan menghormati Perkara 11(4) berkaitan perkara mengawal dan menyekat apa-apa iktikad dan kepercayaan agama lain kepada umat Islam.

Umat Islam pula mestilah sentiasa berwaspada dengan taktik-taktik musuh Islam yang cuba mengambil kesempatan daripada toleransi yang dianjurkan Islam dengan menyalah tafsirkan konsep tersebut. Islam tidak menegah orang beriman berbuat baik dan berlaku adil kepada orang bukan Islam tetapi menegah kita daripada berbuat baik kepada orang-orang yang memusuhi kita kerana agama.

Ini termasuklah adanya agenda politik mereka untuk menjatuhkan daulah Islamiah dan mengusir kita dari tanah air sendiri. Dalam konteks ini, surah al-Mumtahanah, ayat 8 dan 9 memberikan kita kefahaman dalam perkara ini. Dalam ayat-ayat tersebut, Allah menjelaskan bahawa permusuhan terhadap orang Islam sentiasa wujud semata-mata kita beragama Islam. Oleh itu, umat Islam sentiasa terdedah dengan ancaman musuh yang akan cuba merampas tanah air dan hak-hak mereka.

Dalam konteks inilah maka siasah (politik) umat Islam mesti bijak menghidu agenda mereka dan dalam keadaan begini kita tidak boleh lagi bertoleransi dengan mereka, sebaliknya mesti bertindak tegas dan keras ke atas mereka.

Ingat ancaman musuh tidak seharusnya dipandang enteng dan membiarkan mereka bermaharajalela melaksanakan agenda permusuhannya mereka itu sama ada dalam bentuk politik mereka yang licik atau mereka menggunakan kekerasan (peperangan).

Apa yang berlaku di Palestin sehingga kini dan yang pernah berlaku di Bosnia suatu ketika dulu di mana umat Islam diusir dari negara mereka secara kejam mesti dijadikan iktibar buat umat Islam di negara kita. Memang konsep toleransi dalam Islam memberikan kesempatan dan peluang yang banyak kepada semua kaum, agama dan setiap individu untuk menikmati hak masing-masing. Namun, demi menjaga tanah air dan agama maka toleransi yang diamalkan tidak bermakna kita harus menggadai maruah dan prinsip dalam mempertahankan hak-hak kita.

Umat Islam tidak boleh menyerah kalah atas nama toleransi sehingga merugi dan membinasakan mereka. Dalam konteks menghadapi musuh inilah maka Islam sangat menekankan ukhuwah Islamiah atau perpaduan Islam supaya kita tidak mudah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam, termasuk dalam kalangan orang-orang munafik yang membantu dan membela mereka lebih daripada mereka mencintai saudara seakidah mereka.

Rasulullah sendiri telah menunjukkan contoh dalam mengamalkan sifat toleransi terhadap orang bukan Islam dengan cara memeteraikan perjanjian damai (kontrak sosial) yang mengandungi ciri-ciri hidup bersama secara aman dan harmoni, termasuk menjamin hak perlindungan di sisi undang-undang dengan syarat tidak boleh melakukan khianat atau belot. Inilah caranya Rasulullah mengikat kesetiaan mereka untuk bersama mempertahankan negara Madinah.

Inilah prinsip-prinsip toleransi yang terkandung dalam Piagam Madinah yang menjadi asas kepada kekuatan negara Madinah.

Apabila kaum Yahudi bertindak mengkhianati perjanjian maka baginda telah mengambil keputusan yang tegas dengan mengeluarkan mereka dari bumi Madinah kerana kewujudan mereka dalam negara boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara Madinah. Ini menunjukkan bahawa baginda amat memelihara prinsip toleransi dengan bersikap tegas terhadap elemen-elemen permusuhan terhadap kedaulatan dan maruah Islam.

Hakikatnya toleransi yang diamalkan oleh baginda sebagai ‘uswatun hasanah’ kepada umatnya mestilah mempunyai batas-batas yang tertentu yang mesti dipelihara serta dihormati oleh semua pihak. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×