MONTREAL: Tiga individu cedera ketika cuba menahan serangan seorang lelaki yang bersenjatakan pisau semasa solat Jumaat di sebuah masjid berdekatan Montreal, Canada.
Jurucakap polis Chateauguay berkata, ketiga-tiga mangsa tersebut mengalami kecederaan ringan, namun seorang daripada mereka dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.
Tambah pihak polis, mangsa-mangsa tersebut berusia dalam lingkungan 50-an dan mereka berjaya menahan suspek sehingga polis tiba di tempat kejadian.
Kejadian tersebut berlaku di Pusat Kebudayaan Islam Chateauguay, Quebec, dengan kira-kira 100 lelaki, wanita dan kanak-kanak berada di dalam masjid ketika itu.
Menurut pentadbir masjid, Richid Amane, seorang lelaki bertindak mencurigakan setelah memasuki masjid, lapor CTV News.
Beberapa lelaki yang menghampiri suspek telah mengalami kecederaan akibat luka di tangan dan badan.
Sementara itu, Majlis Kebangsaan Muslim Kanada (NCCM) yang juga organisasi Muslim terbesar di Kanada meminta masyarakat agar menunggu maklumat lanjut sebelum membuat sebarang spekulasi.
“Kami sedang berhubung dengan pusat komuniti tempatan dan akan memberikan maklumat tambahan apabila tersedia.
“Namun, pada masa ini, kami tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuat kesimpulan tentang motif di sebalik insiden ini, dan kami menggesa komuniti kami untuk tidak membuat spekulasi sementara siasatan masih dijalankan,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial X.
Suspek, seorang lelaki berusia 24 tahun telah ditahan berhampiran lokasi kejadian dan bakal didakwa di mahkamah pada Sabtu. -AGENSI











