WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sedang mempersiapkan pakej bantuan ketenteraan bernilai AS$375 juta (RM1.58 bilion) untuk Ukraine, bagi membantu Kyiv dalam operasi ketenteraannya terhadap Russia.
Menurut dua pegawai kepada Reuters semalam, bantuan terbaharu itu disalurkan pada waktu yang kritikal dalam perang, ketika Russia menyerang infrastruktur tenaga Ukraine menjelang musim sejuk.
Pegawai berkenaan berkata, pakej bantuan yang akan diumumkan minggu depan itu termasuk bot peronda, tambahan peluru untuk sistem peluru berpandu artileri bergerak tinggi (HIMARS), peluru artileri 155 dan 105 milimeter serta alat ganti dan senjata-senjata lain.
Bagaimanapun, senjata dalam pakej bantuan tersebut mungkin berubah dalam beberapa hari akan datang sebelum perjanjian berkenaan dipersetujui kedua-dua pihak.
Sejak Mei lalu, AS tidak menghantar pakej bantuan melebihi AS$275 juta (RM1.15 bilion) di bawah Kuasa Pengeluaran Presiden (PDA), yang membenarkan Washington menggunakan stok senjata sedia ada bagi membantu sekutu dalam situasi kecemasan.
Bulan lalu, AS menghantar dua bantuan ketenteraan masing-masing bernilai AS$125 juta (RM525 juta) ketika Ukraine melancarkan serangan ke wilayah Russia dan kehilangan wilayah di timur negaranya akibat kemaraan tentera Moscow.
Pemimpin Kongres yang menyokong Ukraine dan pentadbiran Presiden, Joe Biden sedang berusaha mencapai persetujuan untuk memohon lanjutan selama satu tahun lagi bagi membolehkan bantuan tentera sekitar AS$5.5 bilion (RM23.11 bilion) disalurkan ke Ukraine di bawah PDA.
Lanjutan PDA dalam Resolusi Berterusan iaitu satu rang undang-undang perbelanjaan kecemasan jangka pendek, perlu diluluskan oleh Senat dan Dewan Perwakilan menjelang tarikh akhir pada 30 September ini. – REUTERS










