KANGAR: Jawatankuasa Fatwa Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, fatwa tersebut diputuskan setelah menerima bukti-bukti berkaitan organisasi berkenaan selain ia juga adalah kesinambungan ajaran Al-Arqam yang telah difatwakan sesat sebelum ini.
Menurutnya, antara perkara-perkara diputuskan adalah pegangan GISBH yang mengkultuskan pemimpin atau tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batas ke tahap seakan menyamakan kedudukan Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara ghaib seakan tuhan adalah fahaman bersifat batiniah, menyeleweng serta sesat.
“Mengikut secara membuta tuli dan mematuhi arahan pemimpin atau golongan agama sekali pun bercanggah dengan ajaran Islam selain mengambil keberkatan secara melampau daripada sisa tubuh badan pemimpin mereka.
“Ia juga mengaitkan pemimpin mereka yang dikultuskan dengan unsur-unsur dapat menjustifikasikan tindakan-tindakan mereka yang salah dengan menggunakan nama Imam Mahdi, jelmaan Rasulullah, karamah wali, keberkatan dan seumpamanya.
“Selain itu, mempercayai pemimpin mereka yang sudah mati masih hidup dan masih dapat memberi panduan kepada mereka. Antara lain lagi mewujudkan hukum-hakam syarak yang baharu untuk menjustifikasikan aktiviti mereka yang bercanggah dengan syarak, hukum-hakam solat, pernikahan (munakahat) dan juga muamalat,” katanya di sini, semalam.
Semalam, polis menggempur organisasi GISBH dengan memberkas 24 pemimpin termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nasiruddin Mohd. Ali bagi membantu siasatan berhubung dakwaan eksploitasi kanak-kanak.
Di Kota Bharu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegaskan fatwa ajaran Al-Arqam yang telah dikeluarkan sebelum ini sudah lengkap untuk dijadikan sebagai rujukan ke atas ajaran dan kepercayaan dalam GISBH yang mengandungi unsur sesat khususnya berkaitan fahaman batiniah.
Beliau berkata, tiada keperluan untuk mengeluarkan fatwa baharu kerana yang sedia ada sebelum ini sudah mencakupi seluruh perkara berkait ajaran tersebut.
“Kecuali kalau ajaran yang lain, baharu kita boleh keluarkan (fatwa) baharu,” katanya.
Di Seremban, Mufti Negeri Sembilan, Profesor Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin berkata, ketika ini pihaknya belum mendapat maklumat atau laporan lengkap daripada polis.
“Hanya setelah ada perincian yang benar-benar konkrit, sahih dan bukti, Jabatan Mufti akan buat susulan untuk tindakan,” katanya. – UTUSAN










