Kehilangan’ yang menyuntik semangat

‘Kehilangan’ yang menyuntik semangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2016 memahatkan detik suka duka buat anak kelahiran Kuching, Sarawak ini.

Tahun itu menjadi titik keramat buat Pengasas Superb Innovative Skills Sdn. Bhd. Nur ‘Athirah Razali, 42 apabila berjaya mencipta sebuah pembaris pola yang membantu memudahkan proses jahitan.

Lebih manis, produk yang dibangunkan itu mendapat pengiktirafan dengan memenangi tempat pertama Cabaran Inovasi Inklusif Zon Tengah 2016 daripada Yayasan Inovasi Malaysia.

Namun, di sebalik kejayaan itu sebenarnya terselit sebuah cerita duka yang masih berbekas di hatinya sehingga kini.

Tiada siapa pun tahu, semasa hari pembentangan inovasi tersebut, Athirah sebenarnya membawa ‘mayat’ anaknya di dalam perut.

Athirah yang sarat mengandung pada ketika itu menggagahkan diri untuk menyelesaikan pembentangan walaupun baru sahaja mengetahui mengenai ketiadaaan anaknya itu sehari sebelumnya.

“Kandungan saya sudah mencecah sembilan bulan pada ketika itu dan memang tiada masalah apa-apa.

“Tetapi, pada petang itu (sehari sebelum pembentangan) saya berasa tidak sedap hati kerana bayi tidak bergerak dan perut terasa seperti ‘kosong’.

“Apabila buat pemeriksaan,mdoktor sahkan anak saya sudah meninggal di dalam perut dan puncanya tidak diketahui,” katanya kepada Seri.

Hati ibu mana yang tidak luluh tatkala mengetahui zuriat yang dikandungkan sudah cukup bulan pergi secara tiba-tiba.

Apatah lagi itu adalah bayi lelaki yang sememangnya dinanti-nantikan bertahun-tahun lamanya.

Sudah memiliki empat cahaya mata perempuan hasil perkahwinannya bersama Mohd. Zaffidin Mohd. Azman, namun kehadiran cahaya mata lelaki dianggap bakal menjadi pelengkap kepada keluarga mereka.

“Memang saya sedih dan kecewa sangat pada masa itu dan menyalahkan diri sendiri. Suami pun minta saya berehat, tenangkan diri dan tidak fikir mengenai pembentangan itu.

“Tetapi pada masa itu, saya fikir ini adalah tanggungjawab saya untuk kongsi kepada masyarakat bahawa ada inovasi pembaris pola
ini.

“Selesai pembentangan saya terus ke hospital untuk bersalin paksa. Saya menang pertandingan itu. Daripada situ saya terfikir ini rezeki anak saya dan saya mahu bantu masyarakat dengan inovasi ini,” katanya.

BERSAMA suami, Mohd. Zaffidin Mohd. Azman yang menjadi tulang belakangnya selama ini.

Walaupun begitu, dugaannya tidak terhenti di situ. Ketika sedang mengumpul semula kekuatan yang tersisa untuk mengajar jahitan, beliau diduga pula dengan kehilangan suara dan hampir bisu.

Rupa-rupanya, beliau mengalami masalah kelumpuhan pita suara akibat tekanan yang melampau selepas kehilangan anak kelimanya.

“Ia terjadi kerana saya terlalu memendam rasa sakit atas kehilangan anak saya. Saya berpura-pura baik-baik sahaja di depan orang namun sebenarnya saya sering menyalahkan diri sendiri.

“Perkara itu beri kesan kepada kesihatan. Saya sering demam dan selesema sehingga akhirnya suara saya hilang. Akhirnya saya belajar untuk reda,” katanya yang mengambil masa tiga tahun untuk sembuh sepenuhnya.

 

JAHIT JANA PENDAPATAN

Ramai menyangka kebolehan menjahit itu adalah satu anugerah dan tidak semua orang memilikinya.

Namun, baginya, kebolehan itu boleh dicungkil sekiranya disertai minat dan bantuan.

Tegasnya, semua orang boleh menjahit, apatah lagi dengan kehadiran inovasi pembaris polanya itu yang membantu memudahkan proses menjahit.

“Kebanyakan tukang jahit atau pelajar jahitan kebiasaannya sering ‘tersekat’ pada fasa melukis pola yang agak sukar memandangkan ia memerlukan pengiraan matematik yang tepat.

“Namun, kehadiran pembaris pola yang lengkap dengan formula itu menjadikan proses melukis pola lebih senang dan mudah difahami,” katanya.

Kaedah melukis pola menggunakan pembaris konvensional agak sukar pada sesetengah orang apatah lagi setiap ukuran tubuh manusia tidak sama. Ia mengambil tempoh masa pembelajaran yang lama.

Namun dengan menggunakan pembaris inovasi itu, pelajar dapat memahami dalam masa dua hari sahaja, seterusnya boleh fokus kepada kualiti jahitan.

Nur ‘Athirah kini sudah menubuhkan pusat komuniti, ruangKREASI.

Pusat komuniti itu diselia dibawah perusahaan sosialnya iaitu ruangKREASI yang terletak di Sungai Buloh, Selangor.

Ia menjadi lokasi wanita terutamanya komuniti B40 belajar menjahit.

Setelah mahir menjahit,mpeserta boleh menggunakan mesin jahit disediakan di pusat itu untuk menjahit produk dan produk dihasilkan pula akan dibantu jual oleh Athirah.

“Kami akan buka reruai setiap hari minggu di kawasan terpilih dan kami bantu jual produkproduk yang dihasilkan oleh peserta.

“Hasil jualan itu nanti kami akan kembalikan kepada peserta dan daripada situ mereka boleh menjana pendapatan.

“Sebab itu saya mahu meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang jahitan kerana bagi saya ia adalah antara kaedah mudah menjana pendapatan,” jelasnya.

Platform pembelajaran secara dalam talian turut disediakan untuk membantu golongan B40 di seluruh Malaysia.

Peserta yang tidak dapat hadir ke pusat kemahiran ruangKREASI boleh layari www.mykreasi.com untuk pembelajaran secara dalam talian.

NUR ‘Athirah Razali menubuhkan pusat komuniti, ruangKREASI.

BANTU BINA JENAMA

Sehingga kini, perusahaan sosialnya itu berjaya membantu lebih 300 wanita untuk mengubah nasib dengan menjahit.

Wanita-wanita yang dibantu bukan sahaja semata-mata belajar menjahit sebaliknya turut diberikan ilmu mengenai penjenamaan agar mereka mampu membangunkan jenama sendiri.

Malah, peserta juga akan dilatih untuk menjadi tenaga pengajar supaya dapat mengembangkan lagi punca pendapatan mereka.

“Selama 20 tahun saya dalam bidang ini saya lihat penglibatan wanita semakin hari semakin memberangsangkan.

“Ramai yang mahu mengubah hidup dan menjana pendapatan sendiri. Kebanyakan yang datang terdiri daripada suri rumah dan wanita yang kurang bernasib baik seperti kehilangan suami dan sebagainya,” kongsinya.

Kerja sosialnya itu turut melayakkan syarikatnya menerima Penarafan Perusahaan Sosial Diakreditasi daripada Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi baru-baru ini.

Mengenai perancangan masa depan, Nur ‘Athirah mahu terus memfokuskan mengenai pembangunan sosial wanita dan
komuniti B40.

“Dengan sokongan daripada suami dan empat puteri tercinta,  saya ingin membawa perubahan dalam ekonomi dan sosial wanita agar mampu menjana pendapatan mereka sendiri melalui kemahiran menjahit.

“Bukan sahaja menjahit pakaian, malah kraf tangan dan sebagainya yang mempunyai nilai tersendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×