Layanan mesra, makanan murah jadi tarikan ke Thailand

Layanan mesra, makanan murah jadi tarikan ke Thailand

Layanan mesra, makanan murah antara tarikan melancong di negara jiran. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Layanan mesra dan senyuman yang tidak lekang membuatkan rakyat negara ini tertawan sekali gus menjadikan Thailand sebagai destinasi pelancongan mereka.

Selain itu, pelbagai pilihan menu makanan yang murah turut menjadi ‘pemikat’ rakyat tempatan untuk ke negara Gajah Putih tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pemandu Pelancong Berlesen Kelantan, Wan Saiful Azwal Wan Mohamad berkata, kedua-dua perkara itu menjadi tunjang kekuatan produk pelancongan di Thailand.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini antara cabaran yang perlu dilihat secara tuntas oleh kerajaan dan semua pemain industri pelancongan termasuk peniaga. Sebagai contoh di Thailand dengan RM200, pelancong dapat menikmati pelbagai menu termasuk makanan laut seperti udang, sotong dan ketam.

“Selain itu, kuasa ‘tular’ menjadi penambah rasa yang membuatkan rakyat Malaysia mahu ke negara berkenaan. Sebagai contoh ada satu kawasan di Narathiwat sebelum ini kurang popular. Namun disebabkan kuasa viral, lokasi itu menjadi destinasi ‘wajib’ yang perlu di singgah setiap kali ke sana,” katanya.

Wan Saiful Azwal memberitahu, industri pelancongan di negara Gajah Putih itu juga mendapat sokongan padu daripada kerajaan yang menyedia dan menyelenggar fasiliti yang ada untuk keselesaan para pelancong.

Sementara itu, seorang penduduk Thailand, Norizan Isma-el, 45, berkata, pendapatan yang rendah menyebabkan peniaga di sini berlumba-lumba menawarkan harga makanan dengan murah.

“Kalau mahal, biasanya penduduk tidak akan memberikan sokongan kepada peniaga berkenaan.

“Mahu atau tidak peniaga perlu mengikut kemampuan kewangan penduduk,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, hanya dalam tempoh empat hari, dianggarkan lebih RM100 juta mengalir ke Thailand berikutan hampir 100,000 pelancong dari Malaysia mengunjungi negara jiran itu khususnya di lima wilayah selatan.

Sejak Januari lalu sehingga pertengahan September ini pula, hampir dua juta pelancong Malaysia direkodkan bercuti ke Thailand dengan wang mengalir keluar mencecah RM2 bilion.

Kelmarin sahaja difahamkan hampir 300 buah bas keluar dari Thailand selepas pelancong Malaysia menghabiskan tempoh percutian mereka di negara jiran itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh berkata, pengunjung Malaysia mula membanjiri Thailand khususnya di lokasi-lokasi tumpuan pelancongan seperti Hatyai, Songkhla, Krabi dan Satun sejak Jumaat lalu.

Menurutnya, sebanyak 32,000 bilik juga habis ditempah sepanjang tempoh 12 hingga 23 September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini