Pengguna berterusan dibuli peniaga - Utusan Malaysia

Pengguna berterusan dibuli peniaga

Penganalisis saran kerajaan tangani isu gaji rendah terlebih dahulu sebelum melaksanakan rasionalisasi subsidi kepada kumpulan sasar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengguna tidak mahu mempertahankan hak menyebabkan mereka terus `dibuli’ pihak-pihak berkepentingan dalam rangkaian peruncitan yang menaikkan harga barang sesuka hati terutamanya setiap kali menjelang musim perayaan termasuk Ramadan.

Walaupun sudah ada beberapa akta khas bagi melindungi hak pengguna, namun akta-akta itu ibarat `hiasan’ selain penguatkuasaan didakwa lemah dan seperti bertugas ikut musim.

Kelemahan mengawal harga barang diakui beberapa persatuan pengguna yang menyifatkan ia berlaku atas dua faktor utama iaitu rakyat sendiri yang tidak peduli untuk bertindak jika terbeli barang dengan harga mahal manakala penguat kuasa pula masih gagal mengawal harga setiap kali menjelang musim perayaan dan Ramadan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ketika dunia memasuki alaf baharu, rakyat masih di takuk lama dalam soal hak mereka sebagai pengguna.

Menurut beliau, sikap tersebut menyebabkan mereka berterusan menjadi mangsa `buli’ oleh pemilik rangkaian peruncitan terutama membabitkan harga makanan dan barang-barang asas.

“Kita yang enggan bertindak seperti membuat aduan kepada pihak berkuasa atau buka mulut bertanya kenapa harga naik, menyebabkan penjual `gembira’ terus naikkan harga bila mereka rasa mahu naikkan,” kata beliau ketika dihubungi.

Menurut beliau, lebih `buruk’ jika pengguna itu `terbeli’ barang dengan harga tidak patut mereka hanya bising dengan kawan-kawan sahaja.

“Perbuatan pengguna kategori ini tidak mengubah apa-apa kecuali lepas geram diri sendiri buat seketika,” jelasnya.

Walhal, Mohd. Yusof memberitahu, kuasa pengguna besar termasuk boleh boikot barang yang dijual dengan harga tidak munasabah atau lebih berat penguat kuasa boleh tarik balik lesen berniaga.

Kata beliau, sikap pengguna Malaysia berbeza berbanding penduduk di negara-negara Barat yang ada kesedaran kepenggunaan tinggi.

“Peruncit atau penjual di negara-negara maju takut dengan pengguna atau pembeli. Pembeli atau pengguna adalah periuk nasi mereka, jadi peruncit atau pengguna di sana tidak berani naik harga,” katanya.

Selain itu, katanya, persatuan-persatuan pengguna di United Kingdom dan Amerika Syarikat, tidak lag buat kempen menyedarkan rakyat mengenai hak pengguna sebaliknya mereka lebih fokus kepada aktiviti perbandingan produk bagi membantu pengguna membuat pilihan terbaik.

Jelas Mohd. Yusof, sebenarnya, Malaysia sudah cukup akta dan saluran yang boleh membantu mempertahankan hak dan tanggungjawab pengguna.

Menurut beliau, pengguna negara hanya perlu mencontohi ketegasan pengguna negara-negara Barat dan dengan cara tersebut, mereka boleh melepaskan diri daripada terus dibuli pemilik rangkaian peruncitan.

“Pengguna perlu membuat aduan jika melihat ada kenaikan atau salah laku peniaga. Selain itu, sebelum membeli, mereka kena buat perbandingan harga antara kedai-kedai.

“Tindakan itu adalah kuasa dan hak pengguna. Jika semua rakyat mengambil langkah ini, penjual takut,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Yusof memberitahu, hal-hal harga naik ketika tekanan pandemik mungkin menyukarkan pengguna untuk memberi fokus kepada isu tersebut kerana mereka mungkin lebih tertekan untuk memfokuskan kepada cara untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Muka depan Utusan Malaysia semalam melaporkan, rakyat sekali lagi terbeban dengan peningkatan mendadak harga runcit barangan hampir di seluruh negara ketika umat Islam menjalani hari pertama ibadat puasa kelmarin.

Antara yang dikesan naik harga ialah ayam proses segar, daging lembu, beberapa jenis ikan dan sayur sawi.

Peningkatan itu dipercayai berpunca tindakan pengeluar dan ‘orang tengah’ yang memanipulasi harga untuk mengaut keuntungan luar biasa dengan memberikan alasan harga makanan ternakan melambung dan kekurangan bekalan ikan.

Sebagai rekod, Malaysia mempunyai akta-akta yang dapat membantu pengguna seperti Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 yang melindungi hak dan tanggungjawab pengguna dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) yang mengawal tindakan peniaga yang menaikkan harga.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor (CASSA), Datuk Seri Prof. Dr. Jacob George berkata, pengguna dinasihat tidak membeli satu-satu barang dalam kuantiti banyak bagi mengelakkan kenaikan harga barangan tersebut.

Menurut beliau, keadaan pandemik sekarang memberi kesukaran dari segi bekalan tidak mencukupi dan kekangan logistik yang boleh menyumbang kepada kenaikan harga barang.

“Pembeli perlu bijak, jangan beli dalam kuantiti yang banyak. Apabila permintaan tinggi, maka boleh berlaku kenaikan lebih-lebih lagi dalam situasi Covid-19, bekalan tidak cukup, pergerakan logistik sukar dan kurang” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×