PESTA air acara tradisi penduduk Kuala Perlis sejak sekian lama boleh diibaratkan seperti perayaan setiap kali ia berlangsung.
Pesta air ini menyaksikan keterujaan penduduk yang bersemangat menyokong pasukan perahu panjang yang bertanding membawa nama kampung masing-masing pada acara ini dianjurkan.
Menariknya, Pesta Air Kuala Perlis yang bermula sejak tahun 1961 atau lebih 60 tahun lalu itu memperlihatkan bagaimana penduduk yang majoritinya dalam kalangan nelayan bersatu-padu dalam menggerakkan acara berkenaan khususnya aktiviti paling mencuri tumpuan iaitu perlumbaan perahu panjang.
Selepas kali terakhir dianjurkan pada 2019 sebelum terpaksa dihentikan berikutan pandemik Covid-19, Pesta Air Kuala Perlis 2024 kembali dengan penganjuran pada tahun ini yang disifatkan sebagai cukup meriah.
Ia mengamit kehadiran puluhan ribu pengunjung sepanjang empat hari acara berlangsung bermula Khamis lalu.
Malah, sepanjang pertandingan perahu panjang itu dijalankan, suasana sekitar Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis, meriah dengan pengunjung termasuk penduduk-penduduk yang mewakili setiap kampung-kampung berkumpul di tepitepi muara sungai di sini bagi memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.
Pesta Air Kuala Perlis 2024 dianjurkan kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Perpaduan dan Intergrasi Nasional.

BABIT 15 KAMPUNG
Sebanyak 15 kampung menyertai pesta ini, membabitkan Kampung Seberang Tok Pi, Kampung Bahagia, Kampung Belakang Kilang, Kampung Bukit Papan, Kampung Kurung Tengar, Kampung Nelayan, Kampung Tanah Baru, Kampung Bukit Tok Po, Kampung Baru Seberang, Kampung Tandiap, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tengah, Kampung Seberang Alor, Kampung Pulau Ketam dan Taman Wai Permai.
Pertandingan perahu panjang turut disertai enam agensi dan jabatan termasuk peserta dari negara jiran iaitu dari Puju, Thailand menerusi beberapa kategori dipertandingkan seperti perahu tradisi 12, perahu tradisi 14, perahu fiber 20 selain perahu berhias.
Beberapa acara sukan rakyat seperti panjat tiang licin, pukul bantal, menjala ikan dan keceriaan kampung turut memeriahkan lagi acara.
Kampung Pulau Ketam muncul sebagai juara keseluruhan Pesta Air Kuala Perlis 2024 dengan pasukan berkenaan turut memenangi acara perahu tradisi 14.
Bagi pertandingan perahu panjang yang lain, Kampung Tandiap menjuarai kategori perahu tradisi 12 manakala Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) mengungguli kategori perahu fiber 20.
Bagi acara keceriaan kampung dimenangi Kampung Tengah, pukul bantal dimenangi Kampung Tanah Baru, tiang licin dimenangi Taman Wai Permai dan menjala ikan dimenangi Kampung Seberang Alor.

UNIK DAN MENARIK
Majlis perasmian berlangsung Jumaat lalu turut menampilkan kelainan tersendiri apabila buat pertama kali diadakan pada sebelah malam dengan pentas pula disediakan di atas muara sungai.
Perasmian Pesta Air Kuala Perlis 2024 itu disempurnakan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail serta Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Selain persembahan kebudayaan dan kesenian serta pertunjukkan bunga api, majlis perasmian turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Datuk Jamal Abdillah sebelum diakhiri dengan pertandingan perahu berhias.
Abu Bakar berkata, setelah lima tahun pesta berkenaan tidak dapat diadakan berikutan kekangan pandemik Covid-19, tahun ini menyaksikan penganjurannya direalisasikan dengan cukup jaya.
Katanya, melihat kepada kejayaan kali ini, pesta sama akan dijadikan sebagai acara tahunan dengan penganjuran lebih besar pada masa depan dengan mengenegahkan pelbagai lagi elemen menarik.
“Pesta unik ini, hanya terdapat di Kuala Perlis dan tradisi tersebut akan terus dipertahankan.
“Kita melakukan persiapan yang cukup rapi sehingga direalisasikan penganjuran ini. Istimewanya lagi, kita juga mencipta kelainan dengan mengadakan perasmian pada sebelah malam dengan pentas diraja pula disediakan di atas sungai di muara Kuala Perlis ini.
Setiap kampung yang menyertai pesta air ini juga diberikan RM5,000. Kalau kita lihat, cukup meriah dan mendapat sambutan hebat,” katanya.
Abu Bakar turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Perpaduan dan Intergrasi Nasional serta seluruh jabatan peringkat negeri dan pusat yang memberikan sumbangan dan kerjasama menjayakan Pesta Air Kuala Perlis 2024.
“Hampir sebulan, setiap petang kami warga Kuala Perlis dari setiap kampung menjalani latihan dan persediaan di muara sungai Kuala Perlis ini,” katanya.
Pesta air umpama perayaan di Kuala Perlis. Mereka yang berada di luar negeri akan pulang ke kampung halaman untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan pesta kebanggaan negeri ini.











