Terima kasih bukan sekadar di bibir - Utusan Malaysia

Terima kasih bukan sekadar di bibir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

SEBAGAI organisasi yang terlibat secara langsung bersama-sama Kementerian Pendidikan dalam Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu 2021 sempena sambutan hari guru peringkat kebangsaan bulan depan, Yayasan Guru Malaysia Bhd. (YGMB) tidak mahu ungkapan itu sekadar tinggal slogan semata-mata.

Utusan Malaysia baru-baru ini menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, DATUK WAN MUNADI WAN MAMAT dan pengacara tersohor negara, DATUK AZNIL NAWAWI di Putrajaya bagi mengetahui penghargaan terbaharu kepada guru yang bertungkus lumus memastikan proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) terus berlangsung ketika pandemik Covid-19.

Bersama wartawan, NIZAM YATIM serta jurugambar FARIZ RUSADIO dan FAUZI BAHARUDIN, Wan Munadi dan Pak Nil berkongsi kisah masing-masing ketika berurusan dengan guru semasa pandemik itu melanda negara.

 

SKIM EMAS

UTUSAN: Boleh komen situasi guru ketika pandemik?
WAN MUNADI: Kita telah menerima maklum balas daripada ahli YGMB di seluruh negara bahawa terdapat dalam kalangan mereka yang positif Covid-19. Bila kita mula dihubungi ahli bertanyakan adakah kita sediakan manfaat, jadi kita tambah manfaat baharu Positif Covid-19 yang boleh dituntut berkuat kuasa mulai Jun 2020.

Kita masukkan dalam skim kebajikan sedia ada iaitu Skim 18 yang menawarkan sebanyak 18 manfaat kebajikan dengan bayaran yuran RM28 sebulan yang dilancar pada 1 Julai 2018. Ini menjadikan bilangan manfaat yang boleh dituntut oleh skim ini adalah 19 jenis berbanding hanya 18 semasa skim ini mula diperkenalkan.

Skim ini terbuka kepada warga pendidik yang mendaftar ketika berumur 55 tahun ke bawah dan liputan kebajikan ini adalah sehingga berumur 60 tahun. Manfaat baharu ini kita sediakan atas keprihatinan kita. Kami sentiasa mengemas kini manfaat kepada ahli mengikut keperluan semasa.

Kenapa Skim Emas diperkenalkan?
Ada guru yang menghubungi kita kerana positif Covid-19 umur mereka lebih (daripada had kelayakan) malah ramai guru yang berumur lebih 55 tahun berminat untuk menyertai YGMB. Jadi atas keprihatinan itu, YGMB berbincang dengan rakan strategik, Takaful Ikhlas Bhd. kerana kita nampak sesuai dengan keadaan sekarang untuk menyediakan skim takaful terutama kepada guru yang berada pada umur yang berisiko dengan bermacam-macam penyakit.

Ini adalah hadiah sempena hari guru buat warga pendidik berusia sehingga 64 tahun yang boleh mendaftar di bawah skim ini.

Bagi menjayakannya, YGMB dengan kerjasama Takaful Ikhlas telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelancaran skim baharu tersebut yang akan diperkenalkan secara rasmi pada majlis Sambutan Hari Guru Ke-50 pada penghujung Mei depan di Melaka.

Pelbagai manfaat tersedia kepada warga pendidik yang mendaftar dengan skim ini termasuk yang dijangkiti Covid-19.

Skim Emas itu tidak terhad kepada warga pendidik yang berkhidmat sahaja, malah, kepada mereka sudah bersara dengan jangka hayat perlindungan sehingga berusia 80 tahun dengan nilai premium RM35 sahaja.

Lebih menarik skim tersebut tidak memerlukan mereka untuk melampirkan rekod atau laporan pemeriksaan kesihatan.

Untuk memperoleh manfaat perlu menjadi ahli YGMB?
Ya. Sebelum ini, sebahagian besar antara 30 hingga 40 peratus guru-guru yang berumur 55 tahun ke atas terlepas peluang untuk menyertai YGMB kerana terma dan syarat kelayakan yang ditetapkan untuk Skim 18. Sekarang YGMB buka peluang kepada semua peringkat untuk menjadi ahli.

Manfaat atau nilai perlindungan melalui Skim Emas adalah lebih dua kali ganda berbanding Skim 18. YGMB bersedia memberi peluang kepada 120,000 ahli sedia ada di seluruh negara untuk bertukar kepada skim baharu ini.

Tetapi terpulanglah kepada ahli untuk memilih kerana setiap skim mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Mungkin guru yang sudah berumur 50 tahun ke atas ini sebahagian besar daripada manfaat yang ada dalam Skim 18 itu contohnya insentif melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, hadiah kelahiran anak dan insentif anak melanjutkan pengajian sudah tidak diperlukan lagi.

Berapakah sasaran pertambahan ahli?
Seperti yang saya sebutkan, kita baru ada 120,000 ahli berbanding keseluruhan 420,000 guru. Kita letakkan sasaran menjelang setahun daripada sekarang, lebih-lebih lagi dengan ada Skim Emas ini, kita sasarkan sekurang-kurangnya ada pertambahan 50,000 hingga 80,000 ahli baharu.

Kita akan buat kempen istimewa, tetapi saya tidak boleh umumkan lagi. Kita akan sediakan hadiah yang istimewa dalam tempoh menjelang sambutan sebenar Hari Guru Ke-50 pada bulan depan untuk memberi galakan kepada guru untuk bersama-sama kita dalam Skim Emas termasuk Skim 18 sedia ada.

Dengan adanya Skim Emas ini, saya boleh katakan kita sudah melengkapi segenap aspek keperluan perlindungan kebajikan dan juga kesihatan serta keselamatan guru-guru di seluruh negara.

 

SEMINAR GURU MERAK

Difahamkan terdapat satu lagi program yang dikenali Seminar Guru Merak?
Seminar sehari anjuran YGMB telah diadakan pada 24 Mac lalu di The Top, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang.

Ini adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) YGMB. Tema Merak yang diangkat menerusi program ini bertujuan memberi gambaran kreativiti yang boleh diterapkan oleh guru-guru ketika proses PdPc berlangsung dan juga ketika mengajar dengan norma baharu.

Seminar yang dihadiri 150 peserta ini diadakan dengan kerjasama Yayasan Pesona yang diterajui oleh Pak Nil yang juga Ikon Pembelajaran Abad Ke-21 Kementerian Pendidikan.

Seminar Merak itu dikendalikan oleh Pak Nil yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengacaraan. Bagaimana (burung) merak digambarkan dengan warna warni begitulah kita mahu guru-guru memanfatkan segala pengalaman yang ada pada Pak Nil selama lebih 30 tahun dalam industri berkenaan.

Kita bercadang untuk meluaskan lagi seminar ini ke seluruh negara dan sedang berusaha gigih untuk mendapatkan kerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

 

GURU TIDAK BOLEH KAKU

Boleh jelas lebih lanjut mengenai Seminar Guru Merak?
AZNIL: Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, kami sudah buat di Terengganu. Saya sebagai perunding YGMB mengajar guru-guru yang menjadi peserta bagaimana hendak menjadikan sesi pengajaran kepada anak-anak murid tidak nampak kaku dan rigid, maknanya ada storytelling (bercerita).

Tetapi dengan adanya PKP terdapat norma baharu pengajaran di sekolah yang bukan hanya dalam lingkungan bilik darjah tetapi turut membabitkan pengajaran secara maya. Jadi kepakaran mengajar itu terpaksa mengambil kira bercakap dengan kamera.

Saya dapati penampilan guru dalam talian agak kaku kerana mereka tidak terdedah kepada cara bekerja bercakap dengan kamera. Apabila bercakap dengan anak murid kita tidak boleh kaku, sebaliknya kita perlu kunci perhatian mereka sepanjang kita mengajar. Mereka harus kita gamamkan. Kita kena buat bila tengok guru, murid rasa teruja untuk belajar lebih.

Apakah teknik yang Pak Nil kongsikan?
Saya ajar bercakap secara bercerita walaupun guru mengajar subjek Matematik dan Sains. Teknik penceritaan itu yang menyebabkan anak-anak kita tidak akan rasa bosan apabila berada dalam bilik darjah dan membolehkan mereka ingat segala yang diajar sampai bila-bila.

Ia hendaklah digambar dalam bentuk visual melalui pergerakan tubuh guru.

Dalam teknik penceritaan ada permainan emosi, kelucuan, bisik, jerit, perlahan, laju, penekanan dan perlambangan. Banyak teknik. Ini semua adalah hasil pengalaman saya sebagai pengacara sejak 1990. Teknik yang saya guna sejak dahulu adalah bercerita.

Apakah hubungan dengan YGMB?
YGMB bertindak sebagai penganjur dan ia melantik Yayasan Pesona yang diasaskan oleh saya untuk bekerjasama membuat seminar ini. Respons guru sangat baik dan oleh kerana Covid-19 jumlah peserta dihadkan kepada 150 orang sahaja.

Kalau tiada pandemik, kita boleh buat seminar di stadium supaya lebih ramai dapat sertai. Tetapi untuk kesan lebih baik, kena ada tunjuk ajar secara perseorangan, jadi tak boleh terlalu ramai.

Bukankah segala yang dilakukan ini lebih berbentuk CSR?
Ya. Saya sampai satu peringkat, segala kewangan dan kegemilangan itu sudah menjadi nombor dua. Saya sudah melalui, merasai dan mencipta. Sekarang ini saya mahu mencipta jalan baharu dalam kerjaya saya iaitu mendidik masyarakat melalui sekolah.

Hiburan itu saya buat sedikit sahaja dan bila perlu saya muncul di kaca televisyen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×