Ringgit capai paras tertinggi dalam 19 bulan - Utusan Malaysia

Ringgit capai paras tertinggi dalam 19 bulan

SEORANG pengurup wang mengira wang kertas ringgit Malaysia sementara pelanggan menunggu di kiosk pengurup wang di Kuala Lumpur. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit mencapai paras tertinggi dalam 19 bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam, ketika para pedagang menimbang kemungkinan pemotongan kadar faedah yang besar oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit dibuka pada 4.2580/2680 berbanding dolar AS sebelum mengakhiri dagangan lebih kukuh pada 4.2410/2490.

Kebanyakan mata wang di pasaran Asia yang sedang pesat membangun meningkat pada Rabu apabila dolar AS melepaskan sebahagian daripada keuntungannya semalam, manakala ekuiti di rantau ini juga meningkat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, faktor utama adalah jangkaan pengurangan kadar faedah sebanyak 50 mata asas oleh Fed AS.

“Tujuannya adalah memastikan ia dapat membantu dalam menstabilkan pertumbuhan ekonomi berikutan kelembapan dalam pasaran pekerjaan di AS.

“Justeru, perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia bakal mengecil dan ini akan menjadikan prospek pulangan pelaburan di Malaysia menjadi lebih menarik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, penganalisis mata wang kanan di MUFG, loyd Chan berpandangan bahawa ringgit “disokong oleh jangkaan penyempitan perbezaan hasil yang pesat dengan AS serta dana global yang masuk ke dalam ekuiti dan bon Malaysia.

Menurut FedWatch CME Tool pula, jangkaan pemotongan kadar faedah setengah peratusan oleh Fed AS pada penghujung hari berada pada tahap 65 peratus, jauh lebih tinggi daripada 34 peratus seminggu yang lalu.

“Dengan Fed AS dijangka memotong kadar faedah sebanyak sekurang-kurangnya 75 mata asas tahun ini, dolar AS berada dalam keadaan defensif, memberikan ruang pernafasan yang diperlukan untuk pasaran sedang pesat membangun dan meningkatkan daya tarikan aset mereka,” katanya.

Bagaimanapun, ahli ekonomi di Sumitomo Mitsui Banking Corp, Ryota Abe berkata, pasaran dilihat telah terlalu menilai siri pemotongan kadar faedah oleh Fed tahun ini.

“Kelegaan tidak bergantung kepada berapa banyak Fed memotong kadar kali ini tetapi sejauh mana kadar boleh dipotong dalam kitaran pelonggaran yang akan datang.

“Pemotongan kadar sebanyak seperempat peratusan oleh Fed akan menyebabkan mata wang Asia dijual kerana dolar mungkin dibeli semula.

“Dalam jangka pendek, peserta pasaran akan menilai semula peluang bagi Fed untuk melaksanakan pemotongan kadar 50 mata asas tidak lama lagi memandangkan data ekonomi semasa tidak semestinya menyokong pemotongan besar seperti itu, yang seterusnya akan membawa kepada kebangkitan semula dolar AS,” katanya.

Rupiah Indonesia dan ekuiti tidak banyak berubah menjelang keputusan dasar monetari pada penghujung hari. Bank Indonesia dijangka mengekalkan kadar faedahnya, menurut tinjauan Reuters terhadap 33 ahli ekonomi.

Di tempat lain di Asia, dolar Singapura dan baht Thailand masing-masing menambah 0.2 peratus, manakala peso Filipina turun 0.2 peratus.

Bank pusat Filipina sebelum ini mengumumkan bahawa mereka sedang mempertimbangkan pemotongan besar dalam nisbah keperluan rizab (RRR) untuk bank tahun ini.

Ekuiti di Asia yang sedang pesat membangun berada dalam julat yang sempit, dengan penanda aras Malaysia turun 0.6 peratus, manakala saham di Thailand dan Indonesia meningkat dan saham di Filipina menambah 0.6 peratus.

Di China, saham kekal hampir rata selepas dagangan disambung semula selepas cuti Festival Pertengahan Musim Luruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×