PETALING JAYA: Supermax Corporation Berhad (Supermax) akan mula mengkomersialkan pengeluaran sarung tangan di kilang pembuatan pertama di Texas, Amerika Syarikat (AS) menjelang Januari 2025.
Menurut kenyataannya di Bursa Malaysia, Supermax melalui anak syarikat milik penuhnya, Maxter Healthcare Inc. akan memulakan ujian dan pentauliahan kumpulan pertama barisan pengeluarannya pada Disember 2024.
Syarikat menjangkakan mencapai separuh kapasiti operasi Fasa 1 menjelang 2025, menghasilkan sehingga 2.4 bilion keping sarung tangan setahun.
Baki Fasa 1 dijangka siap pada suku keempat 2025, menambah 2.4 bilion keping lagi setahun kepada jumlah 4.8 bilion sarung tangan setahun untuk kapasiti pengeluaran AS.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Supermax, Datuk Seri Stanley Thai berkata, kilang AS mereka menggabungkan proses ‘pengilangan pintar’, menampilkan kawalan proses digital dan pengilangan hujung ke hujung automatik sepenuhnya.
“Pendekatan ini mengurangkan pergantungan kami pada buruh kolar biru dan memanfaatkan teknologi terkini, termasuk kecerdasan buatan, automasi dan robotik,” katanya.
Tambahnya, syarikat mempunyai rancangan untuk Fasa 2 pengeluarannya untuk dilaksanakan dalam tempoh dua tahun akan datang dan akan tertakluk kepada pemantauannya terhadap pasaran permintaan dan penggunaan global.
Jelasnya, pembinaan Bangunan Pembuatan (B2A) dan gudang merangkap pusat Pengedaran (B5) Supermax di Brazoria County, Texas telah siap pada Disember 2023 lalu di bawah usaha kolektif pasukan Supermax Healthcare Inc. dan Maxter Healthcare Inc. di AS.
“Sementara itu, pasukan teknikal dari Malaysia telah digunakan untuk pemasangan peralatan pembuatan dan pentauliahan kilang,” ujarnya.
Supermax berkata, keputusan Wakil Perdagangan AS (USTR) baru-baru ini untuk mengenakan tarif ke atas import sarung tangan perubatan China sebanyak 50 peratus pada 2025 dan kepada 100 peratus pada 2026 dilihat sebagai kelebihan penting bagi pengeluar domestik di AS.
Maxter Healthcare Inc., yang merupakan sebahagian daripada lembaga Persatuan Pengilang Perubatan Amerika (AMMA), memuji USTR atas langkah itu.
Kemudahan Pembuatan Termaju di Brazoria County, Texas, AS itu adalah kilang pembuatan ke-18 syarikat itu di seluruh dunia dan yang pertama di AS.
Kemudahan pembuatan seluas 215 ekar itu akan mempamerkan keupayaan canggih melalui penggunaan kecerdasan buatan dan kejuruteraan robotik yang diperluaskan dan merangkumi lapan bangunan. – UTUSAN










