PETALING JAYA: Ariq Global Sdn. Bhd., penyedia latihan yang diiktiraf di bawah HRD Corp, menyasarkan untuk membantu 3,000 rakyat Malaysia memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), dengan pembiayaan penuh melalui inisiatif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), menjelang akhir 2025.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Danial Adam Adonis berkata, ramai rakyat Malaysia mempunyai kemahiran tetapi tidak mempunyai sijil untuk menyokongnya.
Katanya, program ini adalah mengenai pemerkasaan, pengiktirafan dan memberikan orang ramai pengesahan yang mereka perlukan untuk mengawal masa depan mereka.
“Ini bukan sekadar sekeping kertas, ia adalah pintu masuk kepada peluang baru.Kami menyasarkan industri-industri yang akan membentuk masa depan Malaysia dan kami mahu memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, inisiatif ini menyumbang kepada matlamat kerajaan untuk meningkatkan tenaga kerja berkemahiran kepada 35 peratu menjelang 2030, sebahagian penting daripada strategi ekonomi jangka panjang Malaysia.
Menurutnya, inisiatif tersebut menyasarkan golongan daripada komuniti B40, pekerja berkelulusan rendah dan golongan profesional muda tanpa kelayakan formal.
“Program ini mengiktiraf kemahiran dunia nyata melalui skim Pengiktirafan Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (RPEL), membolehkan peserta mendapatkan pensijilan formal tanpa halangan kewangan.
“Dengan sasaran 3,000 graduan menjelang akhir 2025, program ini menjanjikan impak jangka panjang, memperkasa rakyat Malaysia untuk menaiki tangga ekonomi dan mendapatkan pekerjaan yang sebelum ini sukar dicapai,” ujarnya.
Ariq Global berkata, melalui pembiayaan RMK12, program RPEL mengiktiraf kemahiran yang diperoleh daripada pengalaman kerja praktikal, membolehkan peserta memperoleh kelayakan yang diiktiraf di peringkat kebangsaan.
“Persijilan ini merangkumi bidang-bidang permintaan tinggi seperti Operasi Pemasaran Digital (SKM 3: Operasi Pemasaran Digital), Pentadbiran Pejabat (SKM 3: Pentadbiran Pejabat) dan Kejurulatihan Sukan Elektronik (SKM 3: Kejurulatihan Sukan Elektronik).
“Bidang-bidang ini penting bagi tenaga kerja Malaysia yang sedang berkembang, memberikan peserta kelayakan yang diperlukan untuk berjaya dalam peranan baru dan tradisional,” jelasnya.
Katanya, inisiatif Ariq Global memberi fokus kepada rakyat Malaysia yang hanya mempunyai pendidikan menengah atau lebih rendah, di mana ramai daripada mereka telah mengasah kemahiran melalui pengalaman kerja bertahun-tahun.
“Dengan menawarkan pensijilan SKM 3, yang memerlukan pengalaman berkaitan selama tiga tahun, Ariq Global memastikan individu ini boleh memanfaatkan pengalaman mereka untuk mendapatkan prospek kerjaya yang lebih baik,” tambahnya.
Ariq Global berkata, permohonan kini dibuka dan rakyat Malaysia berumur 18 hingga 60 tahun yang memenuhi kriteria pengalaman kerja digalakkan untuk memohon dan maklumat lanjut atau memohon persijilan SKM boleh dibuat di email [email protected] atau hubungi 0149744903. – UTUSAN










