Apa guna tular tanpa etika?

Apa guna tular tanpa etika?

APA sahaja bahan kandungan yang dihasilkan oleh pencipta kandungan haruslah memahami etika atau hak-hak yang perlu difahami. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIKAN cendawan tumbuh selepas hujan. Inilah peribahasa yang paling sesuai pada ketika ini di mana pempengaruh atau pencipta kandungan semakin meningkat naik di ruang media sosial.

Mereka yang sinonim dengan kandungan yang mudah tular seringkali menggunakan pelbagai teknik seperti menghasilkan video yang kreatif, kejutan, atau mencipta kontroversi untuk menarik perhatian pengguna.

Setiap daripada mereka mempunyai bidang atau minat yang berbeza mengikut kecenderungan dan kepakaran masing-masing. Contohnya seperti fesyen, kecantikan, pendidikan, perniagaan, masakan, teknologi, atau hiburan. Tapi, ada juga antara pencipta kandungan ini yang secara rawak atau tidak mempunyai bidang tumpuan khusus, misalnya mereka menghasilkan pelbagai jenis kandungan daripada ulasan produk, vlog harian, hingga kepada topik-topik semasa tanpa fokus yang jelas. Kandungan sebegini tetap berpeluang untuk tular jika berjaya menarik perhatian penonton melalui pendekatan yang unik atau relevan dengan isu semasa.

Kelebihan media sosial yang mempromosikan kandungan secara pantas dan menyeluruh mampu mendapatkan banyak interaksi. Pencipta kandungan ini sering kali menempa kejayaan secara mendadak, namun hal ini juga menimbulkan persoalan mengenai etika dan tanggungjawab dalam penyebaran maklumat.

Sebahagian daripada mereka mungkin terlepas pandang tentang impak kandungan yang mereka hasilkan, terutamanya jika ia mengandungi motif maklumat yang salah atau tidak tepat.

Bagi mereka yang kurang mendapat sambutan pula, ada kecenderungan untuk menggunakan pendekatan yang lebih kontroversi atau sensasi dalam usaha menarik perhatian pengguna. Ini boleh mengakibatkan mereka menghasilkan kandungan yang kurang berkualiti atau tidak beretika semata-mata untuk mendapatkan populariti.

ELAK SALAH FAHAM
Dalam dunia media sosial yang serba pantas ini, literasi media sosial menjadi semakin penting.

Pencipta kandungan perlu jelas dengan objektif mereka dalam setiap kandungan yang dihasilkan, kerana dibimbangi kandungan tersebut akan disalah ertikan oleh para pengguna yang lain. Tanpa objektif yang jelas, para pencipta kandungan berisiko untuk menyebarkan maklumat yang mungkin menimbulkan kekeliruan, salah faham, atau ketidakpuasan hati pihak lain lalu mengundang kecaman warganet.

Lebih parah lagi sekiranya ada kandungan yang melibatkan isu-isu sensitif atau kontroversi yang boleh membawa kepada tindakan undang-undang terhadap mereka. Misalnya, pempengaruh yang sering berinteraksi dengan melibatkan kanak-kanak dalam kandungan mereka perlu memastikan bahawa tindakan mereka tidak melanggar batasan etika atau keselamatan kanak-kanak tersebut. Mereka juga perlu memastikan kandungan yang dihasilkan sesuai dengan umur pengikut muda mereka, dan tidak mempromosikan aktiviti yang boleh membahayakan atau mempengaruhi perkembangan moral dan mental golongan tersebut. Kes seperti ini menunjukkan betapa pentingnya untuk pempengaruh memahami kesan dan tanggungjawab mereka dalam setiap interaksi yang mereka lakukan.

Bukan sahaja kandungan yang melibatkan kanak-kanak, malah apa sahaja bahan kandungan yang dihasilkan oleh pencipta kandungan haruslah memahami etika-etika atau hak-hak yang perlu difahami dan ketahui agar tidak melanggar sebarang pencerobohan privasi.

Literasi media sosial bukan sahaja melibatkan pemahaman tentang cara menyebarkan maklumat dengan berkesan tetapi juga tentang menjaga etika dan melindungi keselamatan individu, terutama dalam konteks melibatkan golongan yang lebih muda.

Jika kita bertanya kepada generasi strawberi hari ini apa impian atau cita-cita mereka dewasa nanti, jawapan yang kita terima menjurus kepada profesion yang sedang meningkat naik ini.

Malah, telah banyak jawatan diwujudkan di premis, agensi, atau syarikat yang memerlukan kemahiran media sosial yang baik.

Para pempengaruh kini menjadi idola buat generasi masa kini, dan setiap tindak-tanduk mereka diperhatikan dan menjadi ikutan. Walaupun tidak salah untuk menjadi pempengaruh, adalah penting untuk memastikan bahawa individu tersebut berpendidikan dan mempunyai moral serta kesedaran sivik yang tinggi.

Profesion sebagai pencipta kandungan bukanlah sesuatu yang salah, namun yang lebih penting adalah tanggungjawab individu tersebut dalam mencorakkan kandungan yang mereka hasilkan serta impaknya kepada masyarakat. Dengan senario hari ini, warganet boleh menilai kualiti kandungan yang telah dihidangkan. Ada yang bermoral, sarat dengan nilai murni, motivasi, nasihat, pengajaran, suntikan semangat positif, inspirasi, dan ada juga yang diibaratkan bagai menghitung bulu kambing – kosong tanpa isi.

Untuk menjadi pempengaruh atau pencipta kandungan yang berjaya, sikap terbuka dalam menerima pandangan dan kritikan daripada pengikut adalah amat penting. Interaksi yang beretika perlu diamalkan dalam memastikan hubungan yang sihat antara pempengaruh dan pengikut mereka.

Pempengaruh perlu berinteraksi dengan cara yang sopan dan profesional, terutama ketika berhadapan dengan komen atau kritikan. Walaupun sukar untuk mengelakkan komen negatif, cara pempengaruh menjawab kritikan tersebut mencerminkan integriti dan kematangan mereka.

Sebagai contoh, ketika pempengaruh melakukan siaran langsung, mereka sering menerima pelbagai jenis komen, ada yang memuji, ada yang mengkritik.

Dalam situasi sebegini, pempengaruh yang matang akan menghadapi kritikan dengan tenang dan bijaksana, bukan dengan emosi atau reaksi yang kasar. Mereka harus sedar bahawa pengikut mereka datang daripada latar belakang yang berbeza dari segi umur, pengetahuan dan pandangan hidup. Oleh itu, sikap berlapang dada amat penting dalam mengekalkan imej yang positif di mata umum.

Menjadi pempengaruh atau pencipta kandungan bukan sahaja memerlukan kreativiti dan keupayaan untuk menarik perhatian, tetapi juga memerlukan kesedaran tentang tanggungjawab terhadap pengikut. Tanpa etika dan literasi media sosial, kejayaan tersebut tidak akan berpanjangan, sebaliknya, ia mungkin berakhir dengan tahanan. – UTUSAN

PENULIS ialah Pustakawan, Perpustakaan Dar al-Hikmah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×