Kera liar ‘serang’ tiga kampung di Benut

Kera liar ‘serang’ tiga kampung di Benut

MISPAN Sulaiman menunjukkan pintu utama surau Kampung Permatang Palas Darat, Benut yang dipasang jeriji bagi mengelakkan diceroboh oleh kumpulan kera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kira-kira 2,000 penduduk di tiga buah kampung di Mukim Benut, dekat sini semakin bimbang dengan ancaman serta gangguan kumpulan kera liar yang sering merosakkan harta benda dan tanaman mereka.

Kampung yang terjejas ialah Kampung Permatang Palas Darat, Parit Haji Ariff dan Permatang Sepam Darat.

Timbalan Pengerusi Surau Kampung Permatang Palas Darat, Mispan Sulaiman, 66, berkata, ancaman serta gangguan kumpulan kera bukan perkara baharu, sebaliknya sudah berlaku sejak dua tahun lalu, namun kian menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Katanya, kedudukan kampung yang dikelilingi hutan-hutan kecil termasuk kebun kelapa sawit terbiar menjadi faktor kehadiran kumpulan binatang itu.

“Malah, ada juga yang memasuki surau, halaman rumah penduduk dan bertenggek di atas pagar serta bumbung rumah sehingga menimbulkan ketakutan. Kumpulan kera ini tidak takut langsung dan tidak lari sekiranya dihalau, malah melawan apabila kita cuba mendekatinya dan bimbang keselamatan kanak-kanak kecil sekiranya ibu bapa tiada di rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mispan memberitahu, surau kampung itu sering dimasuki oleh 40 hingga 50 ekor kera yang bukan sahaja merosakkan peralatan, malah mengotori rumah ibadat tersebut dengan najis dan kencing.

“Kami terpaksa memasang jeriji di pintu utama dan dikunci selepas menggunakannya bagi mengelakkan binatang tersebut masuk ke dalam surau yang boleh menimbulkan lagi banyak masalah,” katanya.

Katanya, kumpulan ‘tetamu tanpa diundang’ itu turut menjadikan ruangan di luar surau sebagai tempat ‘kenduri’ dengan memakan buah-buahan penduduk yang dipetik seperti pisang, rambutan dan pulasan.

“Demi keselamatan, pintu serta tingkap rumah penduduk juga terpaksa ditutup pada siang hari kerana bimbang kumpulan kera masuk ke dalam rumah,” katanya.

Seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Hafis Suradi, 35, berkata, tanaman di dusun penduduk seperti buah rambutan dan pulasan tidak sempat dijamah kerana dirosakkan kumpulan kera berkenaan.

“Kera ini datang dalam kumpulan yang besar, malah ada antaranya yang agresif sehingga menyebabkan penduduk ketakutan dan bimbang dengan keselamatan keluarga. Walaupun penduduk halau dengan bakar mercun, namun usaha itu tidak berhasil, sebaliknya kehadiran kera-kera ini semakin banyak,” katanya sambil meminta pihak berkuasa membantu menangani gangguan dengan segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×