Trump selamat dalam cubaan bunuh kedua di Florida

Trump selamat dalam cubaan bunuh kedua di Florida

ANGGOTA FBI menyiasat kawasan sekitar Kelab Golf Antarabangsa Trump selepas cubaan membunuh calon Republikan itu di West Palm Beach, Florida semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FLORIDA: Calon Republikan, Donald Trump berdepan percubaan membunuh kedua dalam satu kejadian di kelab golf miliknya, di West Palm Beach, Florida semalam.

Pegawai penguatkuasa undang-undang berkata, ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) melihat dan melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki bersenjata di dalam semak berhampiran.

Sejurus melihat laras senapang kira-kira 365 meter hingga 457 meter dari Trump, ejen keselamatan segera melepaskan sekurang-kurangnya empat das tembakan, sekitar pukul 1.30 petang (waktu tempatan).

Suspek meninggalkan senapang AK-47, dua beg galas dan barangan lain serta melarikan diri dengan sebuah kereta Nissan berwarna, sebelum berjaya ditangkap tidak lama kemudian.

Syerif Palm Beach, Ric Bradshaw dalam sidang akhbar mengesahkan menahan lelaki bersenjata terbabit, namun tidak mendedahkan identiti dan motif suspek.

The New York Times dan Fox News mengenal pasti suspek sebagai Ryan Wesley Routh, 58, dari Hawaii, menurut pegawai penguatkuasa yang tidak dinamakan.

Setakat ini, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan agensi penguatkuasa undang-undang lain yang terlibat enggan mengulas mengenai identiti lelaki terbabit.

White House dalam satu kenyataan berkata, Presiden Joe Biden serta Naib Presiden, Kamala Harris diberi taklimat mengenai insiden itu dan berasa lega apabila mengetahui Trump selamat.

“Keganasan tidak mempunyai tempat di Amerika,” kata Harris dalam hantaran di media sosial X.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×