SERDANG: Lebih 80 spesies haiwan dipamerkan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang boleh ‘dibelai’ oleh pengunjung.
Pengarah G2G Animal Garden di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Suzilah Hashim berkata, pihaknya memberi diskaun tiket kepada pengujung bersempena MAHA 2024 yang dianjurkan buat kali ke-100.
Kata beliau, semua haiwan yang dipamerkan adalah haiwan yang jinak dan boleh ‘dibelai’, bergambar dan diberi makan oleh pengunjung.
“Kita sudah lapan tahun beroperasi di sini dan sempena MAHA 2024, kita bagi harga diskaun daripada RM29 ke RM20 untuk dewasa, untuk kanak-kanak pula dari RM24 ke RM15.
“Sempena penganjuran kali ke-100 ini, kita buat penambahan sedikit haiwan dan gajah merupakan antara tarikan utama untuk kali ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Laman Ternakan, di sini.
Mengulas lanjut, Suzilah berkata, waktu operasi mini zoo tersebut turut dilanjukan sempena dengan MAHA 2024 iaitu bermula 10 pagi hingga 10 malam.
Jelasnya, zoo mini atau petting zoo sejak dahulu lagi menjadi tarikan pengunjung yang hadir ke MAHA dan setakat ini sudah mendapat lebih 1,000 pengunjung. – UTUSAN










