GEORGE TOWN: Pulau Pinang kekal menjadi destinasi pilihan pelancong domestik ketika musim cuti persekolahan bermula minggu ini.
Bermula semalam, jalan-jalan utama di pusat bandar sehingga ke kawasan pantai di Batu Ferringhi khususnya, sesak dengan kenderaan pelancong, malah, restoran makanan serta minuman popular di pusat bandar juga rata-rata dipenuhi pelancong.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh berkata, bagi hotel pula, bermula semalam, tempahan bilik di kebanyakan hotel di pusat bandar serta di kawasan pantai boleh dikatakan hampir penuh.
“Cuti sekolah ini sekali lagi menyaksikan Pulau Pinang kekal menjadi tumpuan pelancong domestik.
“Saya dimaklumkan oleh pengusaha hotel, di pusat bandar dan pantai, tempahan bilik hotel hampir penuh. Ini merupakan perkembangan yang amat baik bagi industri perhotelan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Goh berkata, kawasan pantai Batu Ferringhi juga kekal menjadi daya penarik buat pelancong apabila tempahan bilik hotel di kawasan berkenaan mencecah 100 peratus ketika musim cuti persekolahan ini.
“Nampaknya, daya tarikan pantai Batu Ferringhi masih kuat dalam kalangan pengunjung apabila hotel-hotel di kawasan tersebut tetap menjadi pilihan mereka untuk menginap.
“Cuma, hotel di kawasan Seberang Perai agak kurang menerima tempahan. Mungkin kerana daya tarikan bahagian pulau lebih menarik kepada pengunjung menginap di sana,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, cuti sekolah juga menyaksikan tempahan dewan hotel untuk penganjuran majlis-majlis persendirian juga meningkat. – UTUSAN











