Ancaman krisis kemanusiaan di Gaza menjelang musim sejuk

Ancaman krisis kemanusiaan di Gaza menjelang musim sejuk

PENDUDUK Palestin bersiap untuk melarikan diri dari kem sementara untuk orang yang dipindahkan di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza selepas kereta kebal Israel menuju ke kawasan penempatan mereka.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Kira-kira dua juta pelarian di Gaza bakal berdepan krisis kemanusiaan menjelang musim sejuk tidak lama lagi selepas tempat tinggal mereka musnah akibat peperangan yang telah berlanjutan 11 bulan lalu.

Hamas dalam satu kenyataan semalam, mendesak bantuan kemanusiaan untuk golongan itu yang kini berlindung di 543 pusat perlindungan di seluruh wilayah Gaza selepas diusir daripada rumah masing-masing.

“Musim sejuk semakin hampir, keadaan cuaca semakin buruk dan khemah-khemah pelarian juga banyak yang rosak.

“Kami merayu bantuan kemanusiaan bagi menyelamatkan dua juta pelarian di Gaza sebelum terlambat,” jelas pejabat media Hamas dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 74 peratus khemah pelarian tidak boleh digunakan dengan 100,000 daripada 135,000 khemah perlu diganti segera.

“Khemah-khemah itu rosak teruk. Ia diperbuat daripada kayu, nilon dan fabrik. Ia rosak akibat panas matahari serta keadaan iklim di Gaza dan sama sekali tidak boleh digunakan,” jelas kenyataan berkenaan.

Tambah Hamas dalam kenyataan itu, penutupan sempadan oleh tentera Israel juga melarang kemasukan kira-kira 250,000 khemah dan karavan ke Gaza.

Israel terus melancarkan serangan ganas ke Gaza sejak Oktober lalu walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera.

Hampir 41,200 mangsa kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah terkorban dan lebih 95,200 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×