Selawat berterusan tanda cinta Rasulullah SAW

Selawat berterusan tanda cinta Rasulullah SAW

MOHD. JALALUDDIN ASAYUTI MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALI pertama bertandang ke Madrasah Muhammadiah Beta Hilir, Kota Bharu menemukan saya dengan waris terdekat tokoh agamawan yang sohor di Kelantan iaitu Tok Guru Poksu Mat Beta Hilir.

Mohd. Jalaludin Asayuti Mohamed, 56, yang lebih mesra dengan panggilan Babo Sayuti merupakan anak kepada Tok Guru Pok Su Mat sempat meluangkan waktu untuk berkongsi bicara berkait amalan selawat dan sambutan Maulidir Rasul.

Beliau yang juga mudir Madrasah Muhammadiah Beta Hilir berkata, sambutan Maulidur Rasul perlu disambut pada bulan Rabiul Awal sebagai tanda kasih dan sayang umat Islam kepada Rasulullah SAW.

“Sambutan yang diadakan sama ada di rumah, surau dan masjid dengan pengisian berselawat ke atas Rasulullah SAW selain menganjurkan ceramah agama memberi impak kebaikan yang menggambarkan kita (umat Islam) bersyukur dengan nikmat Islam yang dibawa Baginda.

“Apa lagi kiranya sambutan tanggal kelahiran Baginda SAW dilengkapkan dengan sirah perjuangan pesuruh Allah SWT yang membawa Islam dan sinar kehidupan kepada umat manusia,”katanya di Madrasah Muhammadiah Beta Hilir, baru-baru ini.

Tambah beliau, kehadiran bulan Rabiul Awal adalah bulan yang perlu dihiasi dengan amalan berselawat dan berukhuwah yang lazimnya umat Islam bersedekah dengan jamuan makan dan sebagainya.

USTAZ MOHD. JALALUDDIN ASAYUTI MOHAMED
(Babo Sayuti)
Usia: 56 tahun
Asal: Kampung Beta Hilir, Kota Bharu, Kelantan
Sejarah pendidikan:
 Sultan Ismail Collage, Kota Bharu
 Belajar di Pondok Dala Pattoni, Selatan Thailand – berguru dengan Baba Sin  Dalo dan Babo Azid Padang Pusu
 Berguru dengan ayahandanya, Tuan Guru Haji Mohamed Haji Mat Diah (Tok Guru Pok Su Mat) pengasas Pondok Muhammadiah Kampung Beta Hilir
Tugas hakiki:
 Mudir Madrasah Muhammadiah Beta Hilir.
 Pendakwah/ Mengajar di masjid di Kelantan

Bagaimanapun katanya, selawat perlu dijadikan sebagai amalan harian dalam usaha mengukuhkan kecintaan kepada Rasulullah dan berselawat pada bulan kelahiran Rasulullah SAW menunjukkan keikhlasan cinta yang tinggi terhadap junjungan besar.

“Apatah lagi kita maklum bahawa Allah SWT telah memerintah agar orang beriman sentiasa berselawat ke atas Rasulullah SAW bersandarkan firman-Nya dalam surah al-Ahzab ayat ke 56.

“Firman Allah SWT yang bermaksud – Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi penghormatan dan kebaikan) kepada nabi (Muhammad SAW); wahai orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkan salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya,” katanya.

Menurut Babo Sayuti lagi, amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan dan mendapat keampunan daripada-Nya.

Malah, katanya, sesiapa yang membaca selawat secara rutin akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.
“Ia (berselawat) bukan satu amalan yang merugikan. Malah, membawa seribu kebaikan dan kelebihan kepada yang sering mengungkapkan selawat,” katanya.

Beliau berkata, Abu Hurairah R.A, meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat ke atasnya 10 kali.
(Riwayat Imam Muslim)

Menurutnya, makna Allah SWT berselawat kepada kita adalah Allah memberi rahmat kepada manusia yang berselawat kepada Nabi SAW.

Katanya, mereka yang berselawat turut diangkat darjat dan diampunkan dosa-dosa kecil.

Syafaat Nabi SAW, katanya, antara pertolongan paling besar ketika manusia memerlukan pertolongan di padang mahsyar nanti.

“Sebab itu, kita tidak sepatutnya kikir untuk berselawat. Teruskan berselawat tanpa menunggu bulan kelahiran Baginda demi ketenangan hidup duniawi dan ukhrawi.
“Lafaz yang merupakan penghormatan kepada Baginda seharusnya disusuli dengan melaksanakan sunnahnya, teladani akhlaknya dan patuh pada perintah Allah SWT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×