GEORGE TOWN : Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), menjadi agensi penting yang memudahkan perjanjian usaha sama antara Yenher Holdings Berhad (Yenher) selaku peneraju dalam sektor pertanian Malaysia dan Fermentationexperts A/S (FE), sebuah syarikat bioteknologi perintis dari Denmark untuk membentuk YH European Protein Asia Sdn.Bhd. (YHEPA).
Majlis pertukaran dokumen usaha sama itu diadakan di Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agripelancongan Malaysia (MAHA) 2024, di bawah program MAHA Go Global.
Pengerusi Eksekutif Yenher, Datuk Cheng Mooh Tat berkata, usaha sama itu mewakili penjajaran strategik komitmen Yenher terhadap kemampanan dan inovasi dengan kepakaran fermentasi dalam bioteknologi.
“Kami bersedia menawarkan sesuatu yang luar biasa iaitu nilai tambah kepada sektor pertanian di Asia Tenggara dan dalam hal ini, Yenher ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada NCIA atas peranan penting mereka dalam memudah serta menyelaras majlis menandatangani perjanjian ini.
“Sokongan mereka telah memainkan peranan penting dalam menyatukan pemegang kepentingan utama selain memastikan kejayaan terhadap pencapaian penting ini,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, usaha sama antara Yenher dan FE akan memberi tumpuan kepada aktiviti mengubah produk sampingan tumbuhan seperti kacang soya, biji serai, serta makanan rumpai laut kepada bahan makanan bernilai tinggi.
Produk ini dipertingkatkan oleh kaedah kepakaran bioteknologi canggih fermentasi dengan menawarkan beberapa faedah utama seperti kemampanan, ketahanan, nisbah penukaran hadam dan suapan yang lebih baik serta pengurangan faktor anti-pemakanan (ANF).
Bagi peringkat permulaan, YHEPA akan menukar kemudahan sedia ada di Simpang Ampat, dekat sini kepada kilang pembuatan bertaraf GMP yang canggih. Jumlah pelaburan untuk fasa pertama ini dianggarkan bernilai RM75 juta.
Usahasama itu dijangka mewujudkan 16 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pengurusan di Malaysia di mana operasi dijangka bermula pada Suku Keempat 2025, sekali gus meletakkan YHEPA bersedia untuk memenuhi pasaran yang sedang berkembang di seluruh Asia Tenggara dan Taiwan, termasuk Vietnam, Indonesia dan Filipina.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas FE, Jens Legarth, berkata pihaknya sangat teruja untuk bergabung tenaga dengan Yenher dalam usaha transformatif ini.
“Usaha gabungan kami bukan sahaja akan meningkatkan kualiti bahan makanan tetapi juga menangani cabaran global yang kritikal seperti memastikan keselamatan makanan.
“Ia juga dapat menyelesaikan kekurangan, meningkatkan kesihatan haiwan secara semula jadi dan mengurangkan kesan alam sekitar pengeluaran makanan Ini hanyalah permulaan era baru dalam biosolution pertanian,” katanya.-UTUSAN










