Mukadimah
Tidak dinafikan pengundi lelaki dan wanita adalah sama bahkan ada sesetengah kawasan Parlimen pengundi wanita lebih mendominasi.
Sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Malaysia kali ke-64 di Kompleks Al-Makmur Kerdau, Temerloh yang berlangsung pada 13 September, Dewan Muslimat Pas Pusat komited untuk memastikan cita-cita tersebut menjadi kenyataan.
Wartawan Utusan Malaysia, NORFARHIZA MOHD. ATAR mendapatkan pandangan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat yang juga Menteri Besar Kedah, DATUK SERI MUHAMMAD SANUSI MD. NOR tentang keterbukaan Pas dalam meletakkan wanita sebagai calon.
UTUSAN: Macam mana Datuk Seri melihat peluang muslimat menjadi calon?
SANUSI: Saya tengok terbuka dan tiada apa-apa kuota, (jika) ada keupayaan dan ruang. Sekarang ini pun di Kedah ramai calon wanita. Kalau perjuangan orang lain (parti lain) 30 peratus, kita tidak letak peratusan tapi kita bagi peluang, siap (dilantik) exco lagi.
Adakah ini bermakna Pas akan meletakkan lebih ramai calon wanita pada masa depan?
Kita tengok keupayaan dan keperluan tempatan. Macam kita hendak bagi ruang tapi kalau di tempat itu terlalu mencabar adalah beberapa kesesuaian yang perlu dipertimbangkan. Kita sentiasa terbuka untuk memberi peluang kepada wanita menjadi calon. Bab hukum sudah selesai, cuma bab kesesuaian kita perlu tengok kembali.
Kita nak keupayaan intelektual dan kesesuaian tempat tu, macam di tempat saya kawasannya luas. Daerah Sik besar, satu DUN di daerah saya lebih besar daripada Perlis, orang tidak ramai tapi hutan banyak, pergerakan sangat susah, mungkin (kalau nak letak calon wanita) kena fikir dua tiga kali. Tapi kalau di pekan yang kawasannya padat, geografinya okey, muslimat pun okey serta lincah, jadi tempat macam itu tiada isu.
Datuk Seri dakwa ahli UMNO tak bayar yuran. Datuk Seri ada bukti?
Saya berkawan dengan orang UMNO dah berpuluh tahun, tidak perlu tanya bukti benda lazim macam ini. Mereka dapat resit sahaja, mereka bukan bayar pun… Ketua Bahagian yang bayar, lepas itu beritahu ahli mereka ramai. Ramai sebab dia yang bayar. Ahli UMNO jadi empat juta, cari celah mana pun tak tahu.
Pemuda Pas kata Datuk Seri antara yang layak diangkat sebagai calon Perdana Menteri.
Saya tidak bersedia, carilah calon lain. Saya orang parti, saya tiada target (sasaran) untuk diri sendiri. Parti yang susun saya. Kalau parti suruh saya jaga cawangan saya jaga cawangan. Kalau parti suruh jaga negeri, saya jaga negeri. Saya tiada cita-cita peribadi dalam parti. Saya tak pernah terfikir nak jadi calon bahkan calon pilihan raya.
Jadi kalau diangkat nama sebagai Perdana Menteri, adakah Datuk Seri sedia menerimanya?
Saya rasa jauh sangat soalan tu. Saya takde cita-cita untuk jadi apa-apa dalam hierarki kepimpinan, parti yang akan tentukan saya. Parti ini dari majlis tertinggi, mesyuarat, orang ramai. Bukan saya pergi ‘jolok’ diri saya sendiri macam pemimpin parti lain. Mula-mula tunjuk kaya, belanja orang itu, taja orang ini, bela perwakilan semua, rosak politik pasal itulah. Parti politik tak boleh macam itu, bagilah orang ramai tentukan kamu layak ke tidak. Jangan beli, jangan guna duit, jangan bina pengaruh dengan kepalsuan sebab ia boleh rosakkan negara.
Ada cadangan untuk tarik undi, kita kena kahwin dengan orang bukan Islam (mualaf). Komen Datuk Seri?
Berani ke? (ketawa). Tak boleh kahwin dengan orang bukan Islam, kena peluk Islam dulu. (Cadangan ini) Boleh dan ini salah satu cara (kahwin campur) tiada masalah apa pun, boleh teroka (pelajari) kaum lain. Mungkin pada pandangan sesetengah orang ia (cadangan) munasabah (apapun) kahwinlah kerana Allah. Kahwin kerana undi tidak sah.
Dalam ucapan Datuk Seri tadi menyatakan hanya Pas sahaja pejuangkan Melayu dan Islam kerana sebelum ini dikatakan UMNO yang memperjuangkan Melayu -Islam. Pandangan Datuk Seri?
Mana ada UMNO perjuangkan Melayu – Islam dah. Tengok betul-betul, perhati elok-elok mana ada dah perjuangan tu. Sudah tiada ‘Hidup Melayu’, tak berani nak laung pun. Itu laungan keramat mereka berpuluh tahun, sekarang ni tak berani sebut dah. Malulah. Di bahu Pas sahaja terpikul tanggungjawab itu. – UTUSAN










