KUALA LUMPUR: Tiga ahli Geng Tongkol mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini bagi empat pertuduhan menceroboh dan pecah masuk empat sekolah, bulan lalu.
Penghantar barang, Saidina Abdul Hamid, 20; dan penjual kek, Muhammad Syafiq Mohd. Rashid, 18, didakwa memecah masuk pejabat guru Sekolah Siraj Abu Dzar Al Ghifari, Jinjang Utara dekat sini dan mencuri wang tunai RM750 antara pukul 2.14 dan 3.47 pagi pada 6 Ogos lalu.
Muhammad Syafiq dan penyelia parkir, Muhammad Daniel Mohd. Nadzri, 20, juga didakwa atas pertuduhan pecah masuk Sekolah Rendah Agama Raja Muda Musa dengan niat mencuri pada pukul 4.30 pagi, 13 Ogos lalu.
Kesemua didakwa atas pertuduhan menceroboh kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bukit Maluri, Kepong pada pukul 2.14 pagi, 16 Ogos lalu.
Mahkamah membenarkan Saidina dan Muhammad Syafiq diikat jamin setiap seorang RM9,300 manakala Muhammad Daniel dibenarkan jaminan RM7,300 masing-masing dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 28 Oktober, 5 dan 6 Novermber ini bagi sebutan kes-kes.
Media sebelum ini melaporkan polis menumpaskan Geng Tongkol yang terlibat dalam jenayah pecah masuk sekolah. – UTUSAN











