ISTIADAT PERBARISAN kursus asas perajurit muda menjadi detik bersejarah bagi setiap anggota tentera.
Ini kerana pelbagai detik pahit manis ditempuhi dalam tempoh enam bulan menjalani latihan.
Malah proses ‘salin kulit’ sebagai orang awam kepada anggota tentera bukan sesuatu mudah lebih-lebih lagi dengan situasi penularan Covid-19.
Bagi pengambilan perajurit muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) siri 221/2020, istiadat tamat latihan diadakan dengan norma baharu. Diadakan secara tertutup dan hanya disiarkan secara langsung tanpa jemputan untuk ibu bapa menyaksikan anak-anak mereka.
Bagaimanapun, semua perajurit muda cekal dalam meneruskan minat untuk berkhidmat demi negara.
Pemenang anugerah Perajurit Muda TLDM Terbaik keseluruhan, Laskar Muda Nor Aqmal Abu Hassan, 21, berkata, dia berminat menyertai TLDM kerana aspek kebersihan seperti dilihat pada pakaiannya putih selain kelihatan segak di samping kemas.
Selain itu, dia turut mempunyai pengalaman tersendiri sepanjang menjalani latihan enam bulan.
“Ketika di sini saya berdepan cabaran selepas dilantik sebagai ketua rekrut dan bertanggungjawab menjaga keselamatan dan disiplin rakan-rakan seangkatan sepanjang latihan enam bulan.
“Tanggungjawab yang diberikan adalah mencabar kerana saya perlu menjaga 492 anggota yang juga rakan-rakan seperjuangan di bawah saya.
“Namun, para jurulatih dan pegawai banyak membantu saya untuk menjadi seorang ketua yang bertanggungjawab.Kepada ibu bapa saya, saya telah berjaya buktikan kejayaan saya di sini,” jelasnya.
Majlis istiadat perbarisan tamat latihan disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob.
Kesemua 493 Perajurit Muda mengangkat sumpah pada 29 September tahun lalu dan seterusnya menjalani kursus asas perajurit muda TLDM selama 6 bulan di Kapal Diraja (KD) Sultan Ismail (KDSI).

Dalam pada itu, bagi perajurit muda TLDM terbaik keseluruhan wanita 221/2020, Laskar Muda Nur Aisyah Ahmad, 22 berkata, dia pernah berkhidmat sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) selama tiga tahun.
“Saya amat berminat dengan badan beruniform. Saya berjaya menyertai TLDM setelah membuat permohonan kali kedua. Kali pertama untuk pengambilan sebelum ini tidak berjaya.
“Saya berjanji akan melaksanakan yang terbaik sepanjang perkhidmatan saya sebagai anggota TLDM,” ujarnya.
LENCANA ‘DOLPHIN’ TUNTUT KETAHANAN MENTAL, FIZIKAL
KAPAL selam sama ada jenis berkuasa diesel atau nuklear perlu dilengkapi anggota berkemahiran tinggi bagi mengendalikannya.
Ini kerana sifat kapal selam sukar dikesan dan moden yang sudah semestinya menagih kepakaran tinggi daripada krewnya.
Malah jika ada mana-mana angkatan laut yang mahu ‘berdepan’ dengannya, ia memerlukan teknologi lebih tinggi.
Tidak ketinggalan dua kapal selam milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari jenis Scorpene iaitu Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak.
Kedua-dua kapal selam buatan Perancis yang dijana dengan diesel elektrik ini mempunyai kelebihan sendiri, antaranya lebih senyap dan sukar di kesan di kawasan cetek.
Namun, selepas lebih 10 tahun dalam perkhidmatan, keperluan bagi menempatkan anggota baharu sememangnya ada terutama untuk menggantikan anggota yang telah bersara.
Terbaharu, TLDM telah mengadakan kursus kelayakan bagi mendapatkan lencana kepakaran kapal selam untuk warganya.
Bagi Leftenan Quek Teck Gee, dia telah berkhidmat selama 14 tahun dalam TLDM memilih kepakaran ini selepas menerima dorongan daripada rakan-rakan semasa bertugas di Markas Pemerintahan Kapal Selam.
Walaupun berdepan dengan aktiviti latihan yang padat dan penilaian yang sangat kerap, segala cabaran akhirnya berjaya diatasi.
“Dengan ilmu yang dipelajari, ia akan menjadi kunci untuk menyesuaikan diri kerana kru kapal selam seharusnya sentiasa kompeten dalam bidang tugas masing-masing.
“Ini kerana kami tidak boleh melakukan kesilapan yang bakal mendatangkan bencana kepada seluruh kapal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dia antara sembilan pelatih yang berjaya dianugerahkan lencana Kepakaran Kapal Selam selepas mengikuti kursus hampir dua tahun di Pusat Latihan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Sabah dalam satu majlis baru-baru ini.
Selain itu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany turut dianugerahkan lencana Kepakaran Kapal Selam (Kehormat).
Dalam pada itu, bagi Laskar Kanan Teknisyen Marin Kuasa Gerak (TMK), Mohammad Azmir Jama’at berkata, dia mempelajari ilmu daripada kru kapal selam yang berpengalaman sebagai ‘subjek tambahan’.
“Sepanjang kursus ada tiga modul yang dipelajari. Antaranya, Submarine Foundation Training (SFT) iaitu pembelajaran teori asas pengoperasian kapal selam; Scorpene Specific Training (SST) pembelajaran teori spesifik kapal selam Scorpene Class dan Submarine Application Training (SAT) iaitu latihan sambil kerja di kapal selam.
“Bagaimanapun saya belajar dari anggota berpengalaman supaya tidak membahayakan kapal mahu pun semua krew, “ jelasnya.
Bintara Kanan Teknisyen Letrik Senjata (TLS), Endiro Smith anak Dam berkata, dia perlu menyelami dan memahami budaya di dalam angkatan kapal selam bagi menguasai kepakarannya.
“Selain itu tunjuk ajar dari ‘orang lama’ juga membantu dalam proses tersebut,” jelasnya.











