PETALING JAYA: Keputusan pilihan raya Amerika Syarikat (AS) tidak mungkin menjejaskan matlamat Malaysia untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor eksport teknologi yang berkembang, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Kami telah membina ekosistem yang kukuh di sekeliling industri semikonduktor dan ia telah menjadi sebahagian besar daripada eksport kami,” katanya dalam wawancara dengan Haidi Stroud-Watts dan Shery Ahn dari Bloomberg Television.
Jelas beliau, syarikat-syarikat yang berpangkalan di Malaysia tidak mengalami gangguan besar dalam sektor tersebut semasa perubahan kepimpinan AS yang lalu.
“Saya tidak menjangka akan ada perubahan yang ketara jika terdapat perubahan dasar baharu dalam pentadbiran AS.
“Asia Tenggara, termasuk Malaysia, telah mendapat manfaat daripada ketegangan geopolitik yang mendorong lebih banyak pelaburan di rantau ini dan negara ini terus berhubung dengan AS dan China,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, pelabur kini kembali melabur di Malaysia berikutan perkembangan pesat dalam sektor kecerdasan buatan dan kestabilan politik yang semakin baik.
“Setelah beberapa kali pertukaran pemimpin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengukuhkan kuasanya, melaksanakan reformasi dan melancarkan pelan ekonomi untuk memperbaiki prospek negara sejak beliau mengambil alih jawatan pada akhir 2022.
“Syarikat gergasi teknologi seperti Microsoft Corp, Nvidia Corp dan Amazon.com Inc telah berjanji untuk melabur berbilion dolar dalam infrastruktur negara, dengan Anwar mengharapkan kedudukan negara yang tidak berpihak dan ekonomi yang teguh dapat menghadapi sebarang badai geopolitik,” katanya.
Dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih ekuiti Malaysia pada tahun 2024, manakala, Kuala Lumpur menjadi lokasi paling sibuk untuk penyenaraian di Asia Tenggara.
Ringgit telah pulih dari paras terendah 26 tahun berbanding dolar yang dicapai pada bulan Februari, muncul sebagai pemenang utama dalam kalangan pasaran membangun tahun ini.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia sedang menggalakkan syarikat untuk melabur sambil memberi tumpuan kepada lima sektor elektrik dan elektronik, ekonomi digital, kimia dan petrokimia, penjagaan kesihatan dan aeroangkasa.
“Negara ini mencari pelaburan hijau dan digital,” katanya.
Sementara itu, ahli ekonomi CIMB Group Holdings Bhd., Vincent Loo berkata, sektor semikonduktor negara ini, khususnya, dijangka akan mendapat manfaat tanpa mengira siapa yang menang dalam pilihan raya AS akan datang, disebabkan oleh perubahan rantaian bekalan dan pengalihan perdagangan.
“Produk-produk tersebut merupakan sebahagian besar daripada penghantaran luar negara Malaysia, menyumbang 53 peratus daripada eksport ke AS dan 36 peratus ke China dalam lima bulan pertama tahun ini,” katanya. – UTUSAN










