Tanggal 12 Rabiulawal saban tahun di Malaysia pasti disambut sempena kelahiran dan kedatangan Nabi SAW yang merupakan rahmat dan anugerah teragung dari Allah SWT kepada seluruh alam.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam. (al-Anbiya’: 107)
Nabi SAW pernah memperingati hari ulang tahun kelahirannya dengan berpuasa sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah r.a bahawa nabi pernah ditanya tentang puasa hari Isnin.
Baginda bersabda yang bermaksud: Hari itu kelahiranku, hari kenabianku dan hari diturunkan wahyu pertama padaku. (Riwayat Muslim)
Secara umum, tidak terdapat cara atau kaedah khusus dan tertentu dalam sambutan Maulidur Rasul.
Lazimnya, rasa cinta dan kasih kepada junjungan besar Nabi SAW yang sering dilakukan dalam sambutan Maulidur Rasul di Malaysia menerusi pelbagai aktiviti seperti berselawat, forum, kuliah, ceramah, perarakan, persembahan nasyid dan sebagainya.
Majlis sambutan maulid di Malaysia bukan sahaja disambut di peringkat kebangsaan, malah dirancang dan dilakukan di setiap peringkat negeri, daerah hinggakan ke kampung dan taman perumahan.
Lazimnya, sambutan maulid akan diisi dengan selawat dan salam kepada Nabi SAW yang akan menghasilkan ganjaran pahala dan rahmat yang melimpah dari Allah SWT.
Seterusnya, disusuli pengisian penghayatan terhadap sirah Nabi Muhammad SAW bermula kelahiran, kehidupan remaja, hidup berkeluarga, pahit getir berjuang dalam dakwah, memimpin negara Madinah sehinggalah Nabi SAW wafat yang perlu dan wajar dicontohi dalam kehidupan seharian.
Sambutan Maulidur Rasul adalah bertujuan menzahirkan rasa cinta dan kasih terhadap Nabi SAW. Kasih dan cinta ini adalah satu tuntutan yang disarankan oleh Nabi SAW.
Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: Aku bersumpah dengan nama Allah yang jiwaku dalam kekuasaan Allah. Tiada seorang pun di antara kamu dianggap beriman sebelum kecintaannya terhadap diriku melebihi kecintaannya terhadap bapanya dan anak-anaknya. (Riwayat al-Bukhari).
Cinta dan kasih terhadap Nabi SAW tidak cukup hanya sekadar pengakuan dan ucapan di lisan, tetapi hendaklah dibuktikan dengan beberapa amalan dalam kehidupan seharian.
Pertama, banyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Nabi SAW. Allah SWT telah memerintahkan berselawat ke atas Nabi SAW dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)
Nabi SAW menganjurkan agar berselawat kepadanya, lebih-lebih lagi ketika namanya disebut, malah bagi sesiapa yang sering berselawat kepadanya akan dikurniakan rahmat dari Allah SWT.
Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah melimpahkan kepadanya sepuluh rahmat, dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan dan Allah mengangkat sepuluh darjat. (Riwayat al-Bukhari).
Hadis tersebut memberikan dorongan dan semangat bahawa rahmat ketenangan, keamanan, kesihatan, perpaduan dan pelbagai rahmat lagi daripada Allah akan dikurniakan dengan berkat selawat kepada Nabi SAW.
Bahkan, Allah SWT juga akan hapuskan pula pelbagai jenis kesusahan, bala bencana, kerosakan dan kejahatan dengan sebab kita berselawat.
Kedua, meneladani kehidupan Nabi SAW. Kehidupan Nabi SAW adalah satu-satunya contoh yang paling sempurna yang mesti diikuti oleh umat Islam kerana seluruh kehidupan Nabi SAW dibimbing dengan wahyu Ilahi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (al-Najm: 3-4)
Ayat di atas menjelaskan bahawa seluruh kehidupan Nabi SAW dipimpin dan dibimbing oleh al-Quran.
Al-Quran membimbing kehidupan Nabi SAW sebagai suami yang bertanggungjawab, bapa yang pengasih, pendakwah yang sabar dan pemimpin yang amanah lagi adil.
Oleh itu, Nabi SAW adalah sosok insan yang sangat cemerlang dan keunggulan keperibadian baginda jelas terserlah dari pelbagai sisi antaranya sebagai pemimpin atau ketua kepada keluarga, masyarakat, organisasi dan negara, malah tidak seorang pun mampu menandingi keunggulan dan ketokohan Nabi SAW.
Ketiga, mentaati dan mematuhi ajaran Nabi SAW. Mentaati Nabi SAW dan mengamalkan ajaran yang disampaikan adalah merupakan bukti kasih sayang dan kecintaan terhadap Nabi SAW. Nabi
SAW diutus untuk membawa agama Islam yang lengkap dan sesuai dengan keperluan manusia.
Seterusnya, mentaati Nabi SAW adalah satu tuntutan yang wajib kerana bermakna mentaati Allah SWT.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang taat kepadaku sesungguhnya ia telah taat kepada Allah. Dan sesiapa yang derhaka kepadaku sesungguhnya ia telah derhaka kepada Allah. (Riwayat al-Bukhari).
Hadis di atas menegaskan bahawa setiap perintah Nabi SAW yang diingkari, ditolak atau dihina adalah penderhakaan kepada Nabi SAW yang juga penderhakaan kepada Allah SWT.
Oleh itu, taatilah dan patuhilah setiap perkara yang diperintahkan oleh Nabi SAW.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. (al-Hasyr: 7)
Ayat di atas menjelaskan bahawa setiap perkara yang Nabi SAW perintahkan pasti mengandungi banyak kebaikan dan kemaslahatan. Begitulah sebaliknya, setiap perkara yang ditegah pasti juga mengandungi keburukan dan kerosakan.
Demikianlah amalan yang boleh dilakukan dan dilaksanakan dalam kehidupan seharian untuk membuktikan dan menzahirkan kecintaan kepada Nabi SAW yang telah berjasa dan membawa rahmat bagi seluruh alam.
PROF. MADYA DR. AZRI BHARI, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.










