IPOH: Seorang pesara guru di sini mendakwa menyimpan watikah asli yang dibaca dan ditandatangani bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman ketika melaungkan pengisytiharan kemerdekaan negara di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957.
Pesara guru tersebut, Ramli Abu Itam atau Cikgu Ramli, 65, berkata, beliau menyimpan watikah pengisytiharan kemerdekaan negara yang ditulis dalam tulisan Jawi itu sejak tahun 1998.
Menurut beliau, watikah pengisytiharan itu dijaga dengan baik sebagai antara koleksi kesayangannya dalam galeri miliknya iaitu Galeri Cikgu Ramli di Chemor di sini.
“Saya membeli watikah asli pengisytiharan hari kemerdekaan negara ini kira-kira 23 tahun lalu.
“Namun saya tidak dapat mendedahkan bagaimana saya mendapat watikah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Selain itu, Ramli juga memiliki pelbagai koleksi barangan lama dan unik dari dalam dan luar negara.
Antara koleksi istimewa lain ialah barangan jenama minuman terkenal iaitu Coca-Cola, khususnya dari luar negara.
Ramli berkata, beliau mempunyai koleksi pertama minuman berkenaan atau The First Ten Series Coca-Cola yang hanya dimiliki oleh lima orang sahaja di negara ini.
Katanya, dia sanggup menaiki penerbangan ke Mississippi, Amerika Syarikat untuk mendapatkan Coca-Cola bentuk botol kaca pertama di dunia yang dikeluarkan pada tahun 1894.
“Harga salah satu daripada sepuluh botol koleksi The First Ten Series Coca-Cola di Malaysia adalah RM800.
“Namun bukan semua botol The First Ten Series Coca-Cola bernilai semahal itu hanya botol kedua daripada sepuluh botol itu yang mempunyai nilai yang tinggi walaupun reka bentuk botol berkenaan kelihatan sama tetapi nombor siri yang membezakan nilai botol tersebut,” katanya.
Menurutnya, dia dan keluarganya tidak meminum Coca-Cola sebaliknya hanya gemar mengumpul pelbagai koleksi produk minuman terkemuka itu.
“Selain koleksi barangan Coca-Cola, saya juga mempunyai telefon hijau yang digunakan oleh Allahyarham P.Ramlee dalam filem Madu Tiga.
“Telefon hijau itu saya beli dengan anggaran harga lebih RM1,000. Ia adalah barangan baharu dalam koleksi saya,” katanya. – UTUSAN











